MIC intai Parlimen Teluk Intan

Vickneswaran (tengah) bersama pimpinan MIC Perak ketika merasmikan Konvensyen MIC Perak pada Sabtu.
Vickneswaran (tengah) bersama pimpinan MIC Perak ketika merasmikan Konvensyen MIC Perak pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - MIC sedang mengintai kerusi Parlimen Teluk Intan selain mengekalkan kerusi Parlimen Sungai Siput dan Tapah untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden MIC, Tan Sri SA Vickneswaran berkata, kerusi tersebut merupakan salah satu kerusi yang ditinggalkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) selepas mereka tidak lagi bersama Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, perkara itu memang di dalam pertimbangan MIC sebagai tambahan terhadap kerusi sedia ada untuk ditandingi pada PRU akan datang.

"Memang kita nak bertanding di Teluk Intan kerana ada kerusi tambahan. Kedua, kita memang telah beri keutamaan kepada BN di mana kita telah beri kerusi iaitu Cameron Highlands.

"Takkan apa yang kita dah korbankan ini tak ada makna, saya percaya kepimpinan BN dan juga UMNO akan memberikan kerjasama mereka. MIC yang telah lama dan selama-lamanya bersama BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MIC Perak di sini pada Sabtu.

Vickneswaran berkata, selain kerusi Parlimen Teluk Intan, terdapat beberapa lagi permintaan yang hanya akan diputuskan menerusi Majlis Tertinggi BN.

Menurutnya, sebarang permintaan tersebut tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya kerana bimbang perkara tersebut akan menyebabkan organisasi kucar-kacir.

Sementara itu, beliau turut mengharapkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan MIC kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai potensi untuk dimenangi.

Menurutnya, tindakan itu penting kerana MIC amat memerlukan wakil di dalam kerajaan negeri untuk menyuarakan keperluan kaum India.

Beliau berkata, setiap negeri perlu mempunyai Exco kerajaan negeri dalam kalangan kaum India dan kerusi-kerusi DUN yang diberikan kepada MIC mesti boleh dimenangi.