Kes LCS: Pengamal media penuhi Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur

Petugas media berkumpul di pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pagi Selasa bagi membuat liputan kes pecah amanah membabitkan perolehan projek LCS.
Petugas media berkumpul di pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pagi Selasa bagi membuat liputan kes pecah amanah membabitkan perolehan projek LCS.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 50 pengamal media memenuhi pekarangan Mahkamah Sesyen di sini pada pagi Selasa bagi membuat liputan kes pecah amanah membabitkan perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Malahan, ada antara petugas media tiba seawal jam 7.45 pagi untuk memastikan mereka tidak terlepas membuat liputan kes berprofil tinggi berkenaan.

Pada Isnin, media melaporkan seorang bekas naib pengerusi eksekutif syarikat perkapalan akan didakwa di mahkamah ini atas tiga pertuduhan pecah amanah berhubung kes kontroversi terbabit.

Lelaki berusia 79 tahun tersebut yang juga bekas pegawai tertinggi tentera tiba di mahkamah kira-kira jam 7.50 pagi dengan ditemani ahli keluarga.

Difahamkan pertuduhan kes akan bermula jam 9 pagi dengan liputan pihak media dalam mahkamah yang terhad.

Skandal kapal perang itu mengejutkan negara apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya pada 4 Ogos lalu mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk projek lima kapal LCS yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh mendedahkan, lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lapuk daripada projek kapal peronda lama.

Dalam laporan terbabit, PAC turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek LCS.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudian menerima laporan berhubung projek LCS susulan kegagalan pihak tersebut menyerahkan kapal berkenaan mengikut tempoh ditetapkan.

Mengikut kontrak asal yang ditandatangani pada 2014, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepatutnya menerima LCS pertama pada April 2019 setelah membuat bayaran.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan RM9 bilion bagi tempoh bermula 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.