Warisan gesa mesyuarat khas RUU Anti Lompat Parti

Mohd Shafie ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat AMT di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat AMT di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sekali lagi menyarankan supaya satu mesyuarat khas dilaksanakan bagi membawa Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Menurutnya, perkara itu telahpun disuarakan di Parlimen selepas RUU berkenaan diluluskan di Parlimen pada bulan lalu.

"Saya cadangkan supaya dilakukan mesyuarat khas di DUN untuk membawa RUU Anti Lompat Parti dan diselaraskan sebaik mungkin kerana saya yakin bulan September, Yang di-Pertuan Agong akan tandatangan kerana Dewan Negara sudah luluskan baru-baru ini.

"Jadi ia akan digazetkan dan efektif serta-merta. Saya berharap, selaku Ketua Pembangkang di peringkat Sabah kita bekerjasama sebaik mungkin untuk memberi sokongan kepada pindaan undang-undang yang ada," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita berkaitan pindaan RUU Anti Lompat Parti yang turut dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, RUU itu perlu diluluskan tanpa mengira ideologi politik sama ada daripada blok pembangkang atau kerajaan.

"RUU ini juga perlu diadakan terlebih dahulu, namun mungkin perlu adanya penambahbaikan di masa akan datang. Mungkin satu penggal untuk mereka tidak boleh bertanding untuk dijadikan sebagai satu pengajaran," katanya.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna turut memaklumkan pindaan perlembagaan yang akan dilakukan selari dengan Akta Anti Lompat yang diluluskan di Parlimen.

"Warisan merupakan parti yang pertama akan menggubal sedikit sebanyak RUU dalam parti itu untuk dimasukkan kandungan apa yang ada dalam Akta Anti Lompat," katanya.