Sekolah asrama tempat mulakan hidup berdikari, bukan membuli

Laporan Sinar Harian pada Sabtu melibatkan kes buli di MRSM Kuantan.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu melibatkan kes buli di MRSM Kuantan.
A
A
A

MEMANG mengerikan apabila mengenangkan kes buli di sekolah akhir-akhir ini yang berlaku seperti tiada simpati lagi kepada mangsa.

Ada kalanya gurauan yang keterlaluan pun sudahnya berakhir sebagai kes buli.

Ada seorang rakan Merak Jalanan amat khuatir untuk menghantar anaknya ke sekolah asrama kerana risau termasuk dalam senarai mangsa!

Katanya media melaporkan kes buli terjadi di merata-rata tempat dan ada juga laporan kematian.

Isunya siapa kita harus persalahkan?

Adakah anak-anak kita hari ini lemah sehingga dibuli, atau adab mereka semakin berkurang sehingga jadi pembuli?

Paling menyedihkan, warden atau pendidik dipersalahkan sekiranya kejadian buli berlaku di kawasan sekolah.

Sedangkan ini adalah soal sahsiah dan akhlak yang perlu dibentuk dari rumah lagi, bukannya di sekolah atau di asrama.

Sekolah adalah perjalanan kehidupan untuk masa depan.

Merak Jalanan juga pernah bersekolah di asrama selama dua tahun, rasanya suasana asrama lebih kurang sama pada hari ini.

Dalam tempoh itu Merak Jalanan belajar bagaimana kita membawa diri.

Apa yang kita pilih, itulah akan berlaku di asrama.

Tiada siapa yang menyuruh atau melarang kerana semua itu pilihan sendiri.

Macam sekolah Merak Jalanan dulu, kami pilih untuk panjat menara tangki air sebagai acara tahunan sebelum tamat sekolah.

Benar ia memang salah dan berisiko, tetapi itulah yang Merak Jalanan katakan tadi, ia adalah pilihan.

Tiada siapa yang memaksa untuk panjat menara setinggi lebih 20 meter itu.

Begitulah pembuli. Mereka melihat kelemahan orang lain untuk dipermainkan, akhirnya lupa diri sampai melakukan perbuatan yang keterlaluan dan mengakibatkan orang lain trauma.

Tindakan keras kepada pembuli perlu sebagai satu pengajaran.

Asrama adalah tempat untuk hidup berdikari, bukan membuli.

Asrama juga adalah permulaan kehidupan sebelum dunia kerjaya kelak!