SUKIPT 2022: UiTM juara futsal lelaki

Pemain futsal UiTM meraikan kejayaan mereka menjuarai acara sukan itu di SUKIPT 2022 selepas meneeaskan KPTM 8-0
Pemain futsal UiTM meraikan kejayaan mereka menjuarai acara sukan itu di SUKIPT 2022 selepas meneeaskan KPTM 8-0
A
A
A

SKUAD futsal lelaki Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengubat kekecewaan bergelar naib juara Liga Super Futsal Institusi Pengajian Tinggi (LFIPT) 2022, apabila menjuarai sukan tersebut di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2022).

Pada aksi yang yang berlangsung di Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), UiTM tidak berdepan sebarang masalah untuk membelasah lawannya Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) 8-0 dalam aksi final petang tadi.

Bagi jurulatih UiTM, Addy Shairullyzam Mohd Shafiee, beliau mengakui semangat serta konsistensi yang ditunjukkan anak buahnya menjadi kunci kemenangan merek pada perlawanan akhir itu.

“Walaupun kami menang tapi tetap ada persaingan yang hebat daripada lawan. Bagi saya, semangat yang ada daripada pemain antara faktor kemenangan kami.

“Bila dapat peluang dan mereka berjaya menghasilkan gol, itu yang meningkatkan keyakinan pemain sehingga mampu menjadi juara untuk SUKIPT ini," katanya ketika ditemui sejurus selepas perlawanan.

Jelas Addy lagi, kerjasama yang kuat dalam kalangan pemain turut menyumbang kemenangan mereka pada edisi SUKIPT kali ini.

“Pemain bermain dalam keadaan tiada tekanan, mengambil peluang yang terhidang serta mengurangkan kesilapan-kesilapan mudah. Jadi, kekuatan pasukan ini adalah kerjasama daripada semua pemain.

“Apa yang pemain bagi dalam kejohanan ini memang memadai. Daripada hari pertama perlawanan mereka memberikan sepenuhnya komitmen sehingga kami berjaya menjadi juara,” katanya.

Sementara itu, dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, UPSI berjaya memanfaatkan kelebihan mereka sebagai tuan rumah untuk menewaskan Universiti Utara Malaysia (UUM), 4-2.