Lelaki khianat cabut batu nisan ditahan

Kes khianat mencabut beberapa batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim. - Foto FB Sibu Kini
Kes khianat mencabut beberapa batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim. - Foto FB Sibu Kini
A
A
A

SIBU - Polis menahan seorang gelandangan lelaki pada Isnin yang disyaki terlibat dalam kes khianat mencabut beberapa batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim di sini yang telah menggemparkan masyarakat Muslim di bandar ini.

Perbuatan mencabut batu nisan itu tular di dalam media sosial sejak Ahad apabila terdapat waris-waris yang mendakwa batu nisan di kubur ahli keluarga mereka telah dicabut selepas memeriksa sendiri keadaan di tanah perkuburan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asistan Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, pada jam 1.21 tengah hari polis telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang memaklumkan batu nisan kubur bapanya telah dicabut dari kedudukan asal.

"Hasil siasatan pihak polis, jam lebih kurang 3.00 petang, seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun disyaki terlibat dalam kejadian ini telah ditahan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Bernama malam ini.

Beliau berkata, suspek yang didapati mempunyai rekod jenayah itu diberkas di tanah perkuburan berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan berhubung tindakan suspek mencabut batu nisan di tanah perkuburan. - Bernama