X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 28 Mei 2022

Pulau Kukup: Status Taman Negara Johor perlu kekal

pulau_kukup_tourism_johor
A
A

PUTRAJAYA - Jemaah Menteri berpandangan status Pulau Kukup sebagai Taman Negara Johor perlu dikekalkan bagi memastikan kawasan itu kekal sebagai pulau bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia dan satu-satunya di perairan negeri Johor.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, Pulau Kukup yang terletak dalam daerah Pontian mempunyai keluasan 647 hektar dan dikelilingi 800 hektar tanah paya.

“Mempunyai ekosistem pulau bakau yang jarang ditemui dan diancam kepupusan adalah khazanah biodiversiti yang tidak ternilai kepada negara dan negeri Johor khususnya.

“Ia dikenal pasti sebagai kawasan persinggahan burung migrasi, tempat pembiakan dan perlindungan hidupan liar terancam seperti Burung Botak, Bangau Cina dan Pacat Bakau serta sumber perikanan dan akuakultur negara, katanya.

Menurutnya, rakyat juga secara umumnya menyokong supaya status tersebut dikekalkan supaya ekosistem Pulau Kukup terus terpelihara sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa demi faedah generasi masa kini dan masa depan.

“Sebarang kegagalan dalam menguruskan kawasan ini secara berhemah boleh menyebabkan kehilangan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai di samping menjejaskan usaha mengiktiraf Mersing sebagai Geopark Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor pada 6 Dis lalu yang meluluskan usul supaya Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri mengkaji semula status Taman Negara (Johor) Pulau Kukup.

Xavier berkata, Pulau Kukup juga diisytiharkan sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar berikutan terdapat kira-kira 18 spesies bakau asli di Hutan Paya Bakau Pulau Kukup.

“Jika dibandingkan dengan kawasan bakau lain di Semenanjung Malaysia, kekayaan spesies bakau asli di Pulau Kukup adalah tinggi dengan mengambil contoh Hutan Paya Laut Matang, Perak seluas 40,000 hektar tetapi hanya terdapat 21 spesies bakau asli.

“Perbandingan ini menunjukkan kepentingan nilai kepelbagaian biologi Pulau Kukup di rantau ini. Pertukaran status kawasan ini sudah tentu boleh memberi kesan kepada pengiktirafannya sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa yang telah diterima serta menjejaskan reputasi negara dalam memulihara biodiversiti,” katanya.

Satu salinan surat warta kerajaan negeri yang memberitahu pembatalan perizaban Taman Negara Pulau Kukup telah tular dalam media sosial

Menurut warta bertarikh 24 September lepas itu, pembatalan keseluruhan kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3(3) Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) 1989.

Khamis lepas, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyampaikan perkenan baginda supaya Pulau Kukup di Pontian kekal sebagai Taman Negara Johor.

Hasrat baginda itu dinyatakan melalui sepucuk surat kepada Pengarah Tanah dan Galian Johor bertarikh 5 Disember yang dimuat naik melalui laman rasmi Facebook dan Twitter HRH Crown Prince of Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Semalam, Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata kerajaan negeri akan menyatakan pendiriannya berhubung kedudukan Pulau Kukup, Pontian sebagai Taman Negara pada sesi penggulungan DUN, esok. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!