Kerajaan dicadang kenakan cukai taman tema 10 peratus

Mohd Hisamudin
Mohd Hisamudin
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang Ahli Dewan Negara mencadangkan cukai taman tema sebanyak 25 peratus yang dikenakan ketika ini dikurangkan kepada 10 peratus bagi membantu sektor pelancongan domestik dan antarabangsa.

Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mempersoalkan alasan kerajaan mengenakan kadar peratusan cukai sedemikian yang disifatkan sama dengan kadar dikenakan terhadap premis kelab malam, sedangkan taman tema merupakan tempat riadah umum dan sesuai dikunjungi bersama keluarga.

“Mengapa cukai taman tema dikenakan cukai sebanyak 25 peratus sama dengan cukai kelab malam, sedangkan taman tema ini merupakan tempat riadah bersama keluarga,” katanya semasa membahaskan mengenai Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan (Pindaan) 2022 di Dewan Negara pada Isnin.

Selain itu, Mohd Hisamudin turut mempersoalkan tindakan kerajaan bagi menangani isu mewajibkan semua pengendali hotel dan tempat penginapan yang belum berdaftar supaya mendaftar secara rasmi.

“Tindakan ini akan secara langsung membawa lebih banyak hasil cukai pelancongan kepada pihak kerajaan dan juga memudahkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjalankan penguatkuasaan dan semakan berkala agar tempat penginapan ditawarkan adalah memenuhi aspek-aspek keselamatan dan kebersihan yang ditetapkan,” ujarnya.

Dalam perbahasannya, Mohd Hisamudin juga bertanyakan mengenai berapa jumlah hasil kutipan cukai pelancongan sehingga kini sejak ia dilancarkan pada tahun 2017 serta agihan kepada negeri-negeri.

“Oleh itu, saya mencadangkan agar 50 peratus daripada hasil kutipan cukai pelancongan ini haruslah diagih kembali kepada setiap negeri,” katanya.