Kerajaan perlu perkukuh keselamatan di perairan Sabah, Sarawak

Perairan Sabah dan Sarawak kerap dicerobohi pihak berkuasa dan ketenteraan China walaupun pelbagai usaha telah diambil sama ada menerusi rundingan ataupun diplomatik. - Foto AFP. Gambar kecil: Ahmad Hassan
Perairan Sabah dan Sarawak kerap dicerobohi pihak berkuasa dan ketenteraan China walaupun pelbagai usaha telah diambil sama ada menerusi rundingan ataupun diplomatik. - Foto AFP. Gambar kecil: Ahmad Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengukuhkan aspek keselamatan di perairan sempadan Sabah dan Sarawak khususnya pertahanan ketenteraan strategik bagi memastikan negara berada dalam situasi mampu bertahan jika berlaku sebarang konflik di Laut China Selatan.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, perairan Sabah dan Sarawak kerap dicerobohi pihak berkuasa dan ketenteraan China walaupun pelbagai usaha telah diambil sama ada menerusi rundingan ataupun diplomatik.

Katanya, ia juga membuktikan kedaulatan Malaysia tidak dihormati.

“Justeru, kita harus lebih tegas dalam isu ini kerana melibatkan kedaulatan serta keselamatan rakyat khususnya di kedua-dua wilayah ini (Sabah dan Sarawak),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, China sebelum ini telah meningkatkan belanjawan ketenteraannya, selain melaksanakan latihan secara besar-besaran di sekitar perairan Taiwan sebagai bantahan susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke pulau itu.

Katanya, Filipina juga buat pertama kalinya telah diberi amaran langsung oleh China apabila menjalankan aktiviti yang disifatkan sebagai provokasi ketenteraan walaupun di dalam kawasan perairan sendiri.

“Jika berlaku konflik di Laut China Selatan, tentunya Sabah dan Sarawak akan menjadi barisan hadapan sekiranya Malaysia terus lemah dan tidak bertegas dalam menjaga kedaulatan serta keselamatan perairan kita,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut meminta Malaysia mengambil peluang kesediaan China yang mahu bekerjasama dengan negara-negara ASEAN bagi menyelesaikan pertikaian kawasan di Laut China Selatan.

“Malaysia harus bersuara lantang bagi memastikan rundingan itu tidak berat sebelah atau memihak China dan pada masa sama menunjukkan Malaysia adalah negara ASEAN yang kuat,” katanya

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut menggesa agar Malaysia mencontohi negara-negara lain yang sudah mula mengukuhkan aspek ketenteraan, termasuk keselamatan di perairan sempadan masing-masing.

Jelasnya, Malaysia wajar melakukan tindakan sama dengan menaik taraf aset ketenteraan khususnya aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Adalah malang bagi Malaysia apabila projek kapal tempur pesisir (LCS) sebanyak enam buah yang bernilai RM9 bilion mengalami kelewatan dan masih belum siap sehingga kini.

"Ini menunjukkan negara kita tidak berada dalam kesiapsiagaan dari segi keselamatan maritim dengan kontroversi melibatkan aset ketenteraan kita (LCS) yang amat penting itu.

“Jika Malaysia terus kelihatan lemah dalam menjaga kedaulatan di sempadan perairan, kita bakal berhadapan banyak kerugian khususnya kepentingan dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) iaitu sektor perikanan,” katanya.