Bas ekspres tampal pelekat antirasuah layak pengecualian cukai

Ab Muneim (dua dari kanan) dan Che Ibrahim (kiri) menampal pelekat anti rasuah pada pintu Bas Ekspres Konsortium E-Mutiara.
Ab Muneim (dua dari kanan) dan Che Ibrahim (kiri) menampal pelekat anti rasuah pada pintu Bas Ekspres Konsortium E-Mutiara.
A
A
A

KOTA BHARU - Syarikat bas ekspres yang menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi usaha memerangi rasuah termasuk menampal pelekat pada pengangkutan awam layak mendapat pengecualian cukai pendapatan.

Timbalan Pengarah Outreach, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Ab Muneim Ibrahim berkata, inisiatif itu diberikan menerusi Program Inisiatif Potongan Cukai kepada syarikat bermula pada April tahun lalu.

Katanya, program potongan cukai mengikut Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagaimanapun tertangguh berikutan pandemik Covid-19 dan kembali dirancakkan oleh SRPM.

“SPRM menggalakkan sektor swasta termasuk syarikat pengendali bas ekspres mengambil bahagian dalam melaksanakan usaha dan program berkaitan integriti serta antirasuah dalam menyemarakkan budaya benci rasuah dalam kalangan masyarakat.

“Sebagai contoh, sebuah syarikat membelanjakan sebanyak RM15,000 untuk pelekat kempen anti rasuah pada bas ekspres, layak memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan yang bersamaan dengan amaun perbelanjaan pelekat itu,” katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia kali ke-65 dan Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Peringkat Konsortium E-Mutiara Berhad di Panji, di sini, pada Isnin.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.

Ab Muneim (dua dari kanan) menerima dokumen IBR daripada Che Ibrahim (dua dari kiri) pada Isnin.
Ab Muneim (dua dari kanan) menerima dokumen IBR daripada Che Ibrahim (dua dari kiri) pada Isnin.

Ab Muneim berkata, enam kategori syarikat yang layak memohon pengecualian cukai tersebut termasuklah berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016, Akta Pendaftaran Perniagaan (Pindaan) 2015, Akta Perkongsian 1961, Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012, Akta Koperasi 1993 dan syarikat luar negara yang menjalankan perniagaan di Malaysia.

“Garis panduan penganjuran program mesti dijalankan dengan kerjasama SPRM di peringkat Ibu Pejabat atau negeri yang akan memberi manfaat kepada masyarakat serta bukan aktiviti utama perniagaan syarikat, tidak bermotifkan keuntungan dan tidak menyentuh isu politik semasa.

“Program boleh dianjurkan dalam bentuk aktiviti pendidikan berkaitan integriti dan anti rasuah secara bersemuka atau dalam talian contohnya seminar dan forum atau melalui hebahan media merangkumi media elektronik, media cetak serta media sosial,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kelulusan pengecualian cukai pendapatan secara dasar ini diberi oleh Menteri Kewangan melalui surat Kementerian Kewangan (MoF) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 5 April 2021.