Petugas Menara Kuantan 188 lakukan 'skywalk' kibar Jalur Gemilang

Bersempena Bulan Kebangsaan, petugas khidmat pelanggan Menara Kuantan 188 memilih untuk mencipta kelainan dengan menzahirkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara di udara menerusi sukan ekstrem 'skywalk' dengan mengibarkan Jalur Gemilang sambil mengelilingi pelantar terbuka di ketinggian 104 meter menara tersebut. - Foto Bernama
Bersempena Bulan Kebangsaan, petugas khidmat pelanggan Menara Kuantan 188 memilih untuk mencipta kelainan dengan menzahirkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara di udara menerusi sukan ekstrem 'skywalk' dengan mengibarkan Jalur Gemilang sambil mengelilingi pelantar terbuka di ketinggian 104 meter menara tersebut. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Demi menzahirkan semangat merdeka yang berkobar-kobar, empat petugas Menara Kuantan 188 memilih mengibarkan Jalur Gemilang menerusi sukan ekstrem 'skywalk' sambil mengelilingi pelantar terbuka pada ketinggian 104 meter.

Lebih menarik, kibaran megah Jalur Gemilang di pelantar yang berlatarbelakangkan panorama Laut China Selatan itu dipamerkan menerusi pelbagai gaya statik yang melambang daerah terpilih di Pahang iaitu Cameron Highlands, Tasik Bera, Rompin, Kuantan dan Fly to Pekan.

Semangat mengibarkan Jalur Gemilang di menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur itu, direalisasikan Jumaat lepas oleh Mohd Nazrin Zahari, 31, Nurul Hamiraa Jaafar, 30, Mohd Faizan Mohd Fauzi, 24, dan Nurul Alia Azzahira Ramlan, 22.

Kesemua mereka yang merupakan petugas khidmat pelanggan menganggap aktviti ekstrem itu adalah pengalaman manis bagi menyambut Hari Kebangsaan kali ini, lebih-lebih lagi ia diadakan di mercu tanda baharu Pahang yang menawarkan pemandangan 360 darjah bandar raya Kuantan.

Bagi Nurul Hamiraa, ini merupakan kali pertama beliau melakukan aktiviti bersama rakan-rakannya bagi mempamerkan semangat patriotik menerusi aktiviti sukan di bangunan ikon pelancongan yang terletak di tepi Sungai Kuantan itu.

"Tentunya perasaan bangga kerana berpeluang membawa bendera Malaysia mengelilingi 360 darjah bandar Kuantan, ia merupakan kenangan hidup yang tidak akan dilupakan oleh saya kerana susah nak dapat peluang macam ini," katanya.

Menurut Mohd Faizan sebagai golongan muda, aktiviti itu merupakan satu inisiatif bagi menyemarakkan rasa cinta kepada negara apabila membawa Jalur Gemilang di udara dengan berlatarbelakangkan panorama Laut China Selatan, perkampungan nelayan dan hutan bakau.

Sementara itu, Ketua Operator Skywalk Kuantan 188 Azlan Mat Tajudin berkata beliau dan rakannya Khairul Azrin Abdullah memainkan peranan penting bagi memastikan misi itu berjalan lancar terutamanya aspek keselamatan petugas.

Beliau yang berpengalaman mengendalikan sukan lasak lebih 10 tahun berkata kesemua petugas diberikan taklimat keselamatan dan dilengkapkan dengan peralatan perlindungan diri (PPE) seperti topi keselamatan serta harness sebelum dibenarkan membuat pelbagai aksi ‘menerbangkan’ Jalur Gemilang.

Pengarah Urusan Kuantan 188 Datuk Zulkifli Mohamad pula berkata inisiatif itu merupakan antara usaha pihaknya untuk turut sama-sama memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan menerusi sukan ekstrem.

"Kami mengalu-alukan pengunjung yang ingin bersama dalam merancakkan sambutan kemerdekaan kali ini dengan mempamerkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang menerusi aktiviti 'skywalk'," katanya menambah aktiviti sukan itu beroperasi setiap hari (bergantung keadaan cuaca) bermula 10 pagi hingga 10 malam dengan bayaran RM98.

Menurutnya, pelbagai aktiviti turut dirancang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia antaranya 'base jump', 'wall climbing', ekspo jualan selain Pesta Kuantan 188 pada 3 September ini iaitu acara pentas bersama artis tanah air dan pengenalan teknologi Pemetaan Unjuran yang diadakan buat pertama kalinya di mercu tanda itu. - Bernama