SUKIPT 2022: Adik-beradik sumbang dua emas kepada kem UiTM

Aimi Ayuni ketika beraksi dalam acara kayak TK1 di Tasik Marina, UPSI pada Isnin.
Aimi Ayuni ketika beraksi dalam acara kayak TK1 di Tasik Marina, UPSI pada Isnin.
A
A
A

GANDINGAN adik-beradik, Aimi Ayuni Azwan dan Aisyah Farhanah Azwan cemerlang menyumbang dua emas buat kem kayak Universiti Teknologi Mara (UiTM) di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 sebentar tadi.

Pada aksi yang yang berlangsung di Tasik Marina kampus Sultan Azlaan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Aimi Ayuni, 24, yang beraksi dalam kategori TK1 wanita mengungguli perlumbaan itu dengan catatan masa 52.71 saat (s), manakala atlet Politeknik, Nur Atasha Nabila Saring meraih perak (53.07s) dan tempat ketiga, Nursaibah Syahida Ibrahim dari UPSI (1:00.45s).

“Alhamdulillah saya gembira kerana berjaya sumbang emas buat UiTM pada penampilan SUKIPT pertama saya.

“Emas ini sedikit sebanyak pengubat duka buat saya selepas gagal meraih pingat di temasya Sukan Sea Hanoi sebelum ini,” kata Aimi Ayuni selepas perlumbaan.

Dalam pada itu adiknya, Aisyah Farhanah Azwan yang berpasangan bersama Marina Muzaffa dalam acara TK2 wanita tidak berdepan masalah untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama dengan catatan masa 52.57 sekali gus menyumbang pingat kedua buat UiTM dalam acara kayak.

Perak acara TK2 wanita dimenangi pasangan Politeknik, Nur Syahirah Fuad dan Nurul Najieha Zulkifli dengan catatan masa 53.63s dan gangsa dimenangi atlet UPSI Nurul Iffah Ilyana Zulkifli dan Nurul Sazila Rashidin (1:02.84s).

Selain pasukan UiTM, skuad Politeknik turut cemerlang dalam sukan kayak apabila meraih dua emas dalam acara TK1 dan TK2 lelaki.

Emas acara TK1 dimenangi menerusi Muhammad Ridzuan Abdul Aziz dengan catatan masa 45.55s manakala kategori TK2 lelaki dimenangi pasangan Muhammad Bahij Rabbani Mohamad Rizal dan Muhammad Fakhrullah Mohd Rumazie (43.77s).

Tuan rumah turut cemerlang menuai satu emas menerusi atletnya, Muhammad Shafik Ikhwan Hamzah dan Roqaiyah Nor Amran dalam acara TK2 campuran selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama dengan catatan masa 48.98s.