UM ungguli futsal wanita SUKIPT 2022

UM dinobatkan juara futsal wanita Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 selepas membelasah UPM 8-1, dalam aksi terakhir liga sepusingan pada Ahad. - Foto SUKIPT 2022
UM dinobatkan juara futsal wanita Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 selepas membelasah UPM 8-1, dalam aksi terakhir liga sepusingan pada Ahad. - Foto SUKIPT 2022
A
A
A

UNIVERSITI Malaya (UM) dinobatkan juara futsal wanita Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 selepas membelasah Universiti Putra Malaysia (UPM) 8-1, dalam aksi terakhir liga sepusingan pada Ahad.

Jurulatihnya, Farhanah Abdullah berkata, beliau cukup berpuas hati dengan corak permainan dipamerkan dalam kalangan pemainnya sepanjang temasya tersebut.

Malah katanya, kejayaan itu juga disifatkan cukup manis dan pengubat duka buat dirinya serta pemain selepas bergelar naib juara pada final Karnival Futsal Wanita Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 musim ini.

“Kejuaraan ini amat manis buat kami kerana seperti sedia maklum, semasa Karnival Futsal Wanita IPT 2022 sebelum ini kami tumpas kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di final.

“Ini semua adalah misi balas dendam dan lagi manis sebenarnya semua pemain menunjukkan peningkatan yang sangat baik. Mereka juga bermain dengan cemerlang pada setiap perlawanan," katanya ketika ditemui di Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI), pada Ahad.

Sementara itu, Farhanah mengakui masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan sekiranya pasukan tersebut mahu melakar lebih banyak kejayaan pada masa depan.

“Mereka perlu memanfaatkan segala peluang yang terhidang. Boleh diumpamakan, beribu-ribu peluang dihidangkan tapi kami tak ambil.

“Pada saya itulah futsal, siapa yang ambil peluang dia menang. Apa yang saya boleh katakan untuk pasukan futsal wanita UM ini adalah perkara yang perlu ditambah baik.

“Kalau dilihat mereka ada corak permainan tapi apabila sampai di hujung mereka tak dapat buat penyudah. Jadi, itu adalah perkara paling besar yang kami perlu perbaiki selepas ini,” katanya.

Skuad futsal wanita UM berjaya mengumpul 12 mata daripada lima perlawanan sekali gus melayakkan pasukan itu meraih emas.

Sementara itu, pingat perak diraih Universiti Teknologi Mara (UiTM) manakala pingat gangsa menjadi milik Kolej Poly-Tech Mara (KPTM).