Polis kesan pekerja kilang dipukul majikan

Tangkap layar vodeo menunjukkan belakang badan seorang lelaki yang merah dipercayai akibat dipukul
Tangkap layar vodeo menunjukkan belakang badan seorang lelaki yang merah dipercayai akibat dipukul
A
A
A

SEREMBAN - Polis sedang mengesan individu dalam video yang tular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai pekerja sebuah kilang di sini dipukul oleh majikannya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

"Untuk makluman tiada laporan polis diterima sehingga sekarang dan sekiranya ada apa-apa info terkini akan dimaklumkan perkembangan lanjut," katanya.

Pada Sabtu, tiga video tular di media sosial yang dua daripadanya menunjukkan seorang lelaki dipukul dengan alat dipercayai kayu.

Video ketiga yang berdurasi 16 saat pula memaparkan keadaan belakang badan seorang lelaki yang merah dipercayai akibat dipukul berserta keterangan pada video 'aksi bos pukul pekerja di kilang di Senawang'.

Perkongsian video itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang meminta kejadian itu dilaporkan kepada polis.