PRU15: PH tersentak idea rundingan 27 kerusi diterima UMNO

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pandangan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berhubung rundingan 27 kerusi di Parlimen pada Jumaat telah disambut secara positif oleh UMNO.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sekiranya rundingan ke arah pembentukan Muafakat Nasional (MN) itu berjaya, maka ia memberi perkembangan negatif kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, meskipun ada pihak yang tidak bersetuju mengenai perkara tersebut, namun usaha melontarkan idea muafakat perlu diteruskan tanpa henti kepada umat Islam.

“Lontaran idea Mohd Zuhdi tentang kepentingan rundingan 27 kerusi Parlimen untuk kebaikan umat Islam telah disambut secara positif oleh UMNO. PH telah tersentak.

“Jika rundingan ini berjaya ia adalah negatif bagi PH. Namun, dalam kedua parti sendiri pun terdapat pengkritik yang kurang bersetuju.

“Apa pun tugasan kita ialah melontarkan idea muafakat tanpa henti sebagai nasihat kepada umat. Terpulanglah pada pihak berkenaan untuk membuat keputusan,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Ahad.

Mohd Zuhdi melalui laporan media pada Ahad berkata, bahawa MN diyakini mampu menjadi penyelamat bagi menafikan peluang PH menang pada PRU15.

Menurutnya, UMNO dan Pas perlu kembali ke meja perundingan untuk memastikan kedua-dua parti tidak bertembung antara satu sama lain terutamanya di 27 kerusi MN itu.