PRU15: Ahmad Shabery mahu beri peluang kepada muka baharu

Ahmad Shabery
Ahmad Shabery
A
A
A

KEMAMAN - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhasrat untuk memberi peluang kepada muka baharu bertanding di kawasan yang pernah ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Katanya, langkah itu bagi memberi peluang kepada orang baharu menerajui kepimpinan serta mengemukakan idea-idea yang lebih segar dan terkini.

"Secara prinsipnya, saya suka melihat wajah-wajah baharu kerana ini penting untuk menjadi sebahagian daripada penjenamaan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

"Kita akan buat kerja, saya akan beri sumbangan yang terbaik untuk memastikan siapa saja menjadi calon akan beroleh kemenangan sama ada di Kemaman atau di tempat-tempat lain," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jentera PRU15 BN Terengganu, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, masih terlalu awal untuk beliau memberikan jawapan sekiranya dipilih oleh pucuk pimpinan untuk menjadi calon pada PRU15.

"Sekarang ini terlalu awal malah parti pun sedang dalam proses mendapatkan maklum balas pandangan, bukan sahaja di peringkat bahagian tetapi turut melibatkan peringkat bawahan termasuk cawangan-cawangan dan akar umbi parti.

"Penentuan calon yang akan diangkat kepada pucuk pimpinan akan diputuskan menerusi mesyuarat yang diadakan.

"Saya menganggap, apa yang terbaik ialah kita kemukakan wajah baharu dan tenaga baharu. Saya akan membantu mereka untuk berjuang dalam pilihan raya akan datang," ujarnya.

Pada PRU14 lalu, Ahmad Shabery yang menyandang kerusi Parlimen Kemaman selama tiga penggal tewas apabila kerusi itu dimenangi calon Pas, Che Alias Hamid dengan majoriti 2,163 undi menerusi saingan tiga penjuru setelah meraih 39,878 undi.