Kematian peninju Thailand tiada unsur jenayah: Polis

Foto: Ihsan TikTok hakimredarmy via Facebook Kelab Info Malaysia
Foto: Ihsan TikTok hakimredarmy via Facebook Kelab Info Malaysia
A
A
A

KOTA BHARU - Kematian peninju Thailand disahkan sebagai kemalangan dalam sukan dan tiada unsur jenayah.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhammad Zaki Harun berkata, peninju berkenaan, Kittichai Chaengkhao, 28, meninggal dunia akibat pendarahan di kepala ketika beraksi dalam perlawanan Muaythai Ambang Merdeka 2022 di Badang di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 8 malam ketika berlangsungnya perlawanan regu ke-5 sukan itu yang melibatkan mangsa dan peninju daripada Kelab Red Army Kuala Lumpur.

"Mangsa tidak sedarkan diri selepas perlawanan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Badang sebelum dirujuk ke Zon Merah Unit Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

"Mangsa bagaimanapun meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada Ahad.

Bagaimanapun kata Muhammad Zaki, penganjur juga bertanggungjawab membuat laporan polis selepas kejadian.

"Mereka mempunyai permit dan semua dokumen berkaitan perlawanan juga lengkap. Ketika kejadian, doktor juga ada mengawasi," katanya.

Tambah beliau, mayat peninju itu diserahkan kepada pihak kedutaan Thailand untuk tindakan lanjut.