JPKM bantu lebih 20,000 pelajar lanjut pelajaran di IPT

Mahdzir (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang bakal mahasiswi ketika merasmikan program Jelajah Pendidikan Prihatin parlimen Jelebu pada Ahad. - Foto Bernama
Mahdzir (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang bakal mahasiswi ketika merasmikan program Jelajah Pendidikan Prihatin parlimen Jelebu pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

JELEBU - Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) anjuran Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) berjaya membantu lebih 20,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, inisiatif kerajaan dalam membantu pelajar daripada golongan B40 melibatkan penduduk luar bandar di beberapa Parlimen bagi melanjutkan pengajian mendapat sambutan menggalakkan.

Beliau yang juga menteri mentor JPKM berkata, matlamat program ini adalah untuk para pelajar yang ada kelulusan (dalam peperiksaan) ditawarkan tempat di IPTA atau swasta.

"Siri ketiga program kali ini bermula di daerah Jelebu ini dan difahamkan lebih 70 pelajar di sini juga telah diberikan surat tawaran bagi menyambung pengajian,” katanya kepada pemberita di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu, Simpang Pertang di sini.

Mahdzir berucap pada program JPKM Peringkat Parlimen Jelebu yang turut dihadiri Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias merangkap ahli Parlimen Jelebu serta Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN Datuk Mohd Aizuddin Ghazali.

Mahdzir berkata, JPKM menyasarkan 50,000 pelajar lepasan SPM tahun 2016-2021 di 50 kawasan Parlimen untuk mendapat surat tawaran kemasukan ke IPT bagi melanjutkan pelajaran.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, JPKM memberi manfaat dengan memberikan peluang kedua bagi anak-anak Keluarga Malaysia melanjutkan pelajaran supaya dapat mengubah masa depan keluarga kepada lebih baik dan cemerlang.

Dalam pada itu, menerusi program itu pihak Prihatin turut menjalankan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi sumbangan cermin mata serta komputer riba kepada pelajar.

Program itu turut melibatkan 38 IPT antaranya Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Univerisiti Poly-Tech Mara (KUPTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - Bernama

Artikel Berkaitan: