Mural Amelia Earhart tidak akan dipadam

Mural Amelia Earhart di Jalan Abdul Jalil, Taiping yang dihasilkan pada 2019 lalu. - Foto media sosial
Mural Amelia Earhart di Jalan Abdul Jalil, Taiping yang dihasilkan pada 2019 lalu. - Foto media sosial
A
A
A

IPOH - Lukisan mural Amelia Earhart di Jalan Abdul Jalil, Taiping yang menimbulkan perdebatan selepas berlakunya percanggahan fakta tidak akan dipadam.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kerajaan negeri mempunyai beberapa pendekatan lain dalam menangani isu itu, termasuklah meletakkan penafian di dinding mural berkenaan sekiranya berlaku kesalahan fakta.

"Padam (lukisan) itu mungkin langkah terakhir, sebolehnya tidak akan kerana kita ada beberapa pilihan lain seperti meletakkan penafian atau ada fakta lain.

"Fakta itu nanti yang akan memperbetulkan perkara tersebut sama ada betul penerbangan itu, ada dalam perancangan penerbangan, tetapi tidak mendarat atau sebaliknya, nanti kita akan perbetulkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup program Reskill dan Upskill Kursus Asas dan Lanjutan [email protected] Geopark Lembah Kinta di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan negeri telahpun melantik Lembaga Muzium Negeri Perak sebagai pakar rujukan dalam menyemak percanggahan pendapat itu.

Katanya, keputusan akhir akan dibuat sebaik laporan diterima daripada Lembaga Muzium Negeri Perak dan kemungkinan dalam masa terdekat ini.

"Sebelum ini pun, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah membuat semakan fakta bersama persatuan-persatuan sejarah di Taiping dan didapati memang wujud percanggahan pendapat di situ.

Artikel Berkaitan:

"Jadi bila berlaku apa-apa percanggahan, kita perlu ada pakar rujukan supaya konflik fakta itu dapat diperbetulkan kerana ini berkaitan sejarah dan ia mesti diperbetulkan sekiranya itulah yang berlaku," katanya.

Mural yang dihasilkan pada 2019 itu menjadi perdebatan dalam kalangan ahli sejarah dan media sosial mengenai kesahihan fakta sejarah juruterbang Amerika Syarikat, Amelia Earhart yang melakukan penerbangan solo wanita pertama mengelilingi dunia merentasi Lautan Atlantik pada 1937.

Juruterbang itu dikatakan mendarat di Lapangan Terbang Tekah, Taiping pada 7 Jun 1937 untuk mengisi bahan api, bagaimanapun tiada foto yang menunjukkan Amelia mendarat atau berada di Lapangan Terbang Tekah.

Dalam catatannya, Amelia menyebut dia memutuskan untuk terbang terus ke Singapura sejauh 875 batu dan tiba di sana pada jam 5.25 petang.