PRU15: BN perlu tawaran baharu pikat hati rakyat

Noraini
Noraini
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) memerlukan tawaran baharu untuk memikat hati rakyat dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, tawaran itu akan memberikan satu harapan kepada rakyat terhadap BN dan ia perlu lebih segar serta bersesuaian dengan situasi semasa.

"Jadinya, konvensyen kita pada hari ini sangat penting untuk kita menyemak, meneliti dan memfokus kepada isu-isu utama rakyat.

"Kita telah gerakkan dengan Pra Konvensyen Wanita di setiap negeri sejak Julai lalu," katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.

Perasmian pembukaan konvensyen berkenaan disempurnakan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO menjelaskan, dalam siri-siri maraton Pra Konvensyen Wanita BN, tujuh segmen ditekankan meliputi pemerkasaan pendidikan wanita, transformasi pengajian tinggi, pembangunan mampan ekonomi wanita, pembelaan agama dan kebajikan, pengukuhan wanita dalam pentadbiran, keutamaan keselamatan sosial wanita dan daya saing wanita dalam teknologi maklumat (IT) dan teknologi.

Dalam pada itu, beliau berkata, resolusi-resolusi itu akan dibentang oleh wakil-wakil negeri, sebelum dirumuskan dan diserahkan kepada presiden parti untuk dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada manifesto atau Aku Janji BN menghadapi PRU15 nanti.

"Atas faktor itulah, kita berhimpun hari ini untuk memberi pendapat dan mendengar pandangan agar kita mampu bersedia berhadapan peperangan besar dalam arena politik negara iaitu PRU15 yang bakal mendatang.

"PRU15 atau boleh kita katakan sebagai mandat baharu rakyat, akan diterjemahkan pada bila-bila masa mulai hari ini. Peperangan ini akan tiba paling lewat pun Julai tahun depan malah kemungkinan besar tahun ini," tegasnya.

Justeru, Noraini berkata, BN tidak boleh leka kerana gendang perang telah lama dipalu dan Wanita BN harus menjadi peneraju kempen serta memujuk pengundi untuk memberi sokongan kepada BN.

Beliau memberitahu, BN beruntung kerana mempunyai pemimpin-pemimpin yang tidak lari meninggalkan gelanggang.

“Dengan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Wee Ka Siong, Tan Sri SA Vigneswaran dan Tan Sri Joseph Kurup, BN terus kekal relevan dan mempunyai tempat di hati rakyat.

“Tidak dilupakan juga kepada Pengerusi Jemaah Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang tidak jemu-jemu terus membantu kita memperkukuhkan parti,” ujarnya.