Debat perpaduan Keluarga Malaysia bentuk pemikiran mahasiswa

Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Saddique (tengah) merakam kenangan bersama Johan dan Naib Johan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2022 di Dewan Sultan Iskandar UTM, Skudai, Johor Bahru pada Sabtu.
Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Saddique (tengah) merakam kenangan bersama Johan dan Naib Johan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2022 di Dewan Sultan Iskandar UTM, Skudai, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Program Debat Perpaduan Keluarga Malaysia Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2022 yang melibatkan institut pengajian tinggi (IPT) mampu mengasah bakat dan membentuk pemikiran mahasiwa secara holistik.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadidque berkata, debat itu juga dapat meningkatkan aspek pemahaman dan penerimaan mahasiswa terhadap kepelbagaian agama, budaya dan adat resam masyarakat Malaysia.

"Debat Perpaduan Keluarga Malaysia ini bukanlah hanya bersifat 'one-off' semata-mata. Adalah menjadi hasrat Kementerian supaya program seperti ini dapat dilaksanakan secara berterusan

"Selain itu, pertandingan debat ini juga diadakan bagi menyemarakkan dan menyuburkan budaya pengucapan awam di samping dapat memupuk mahasiswa supaya lebih bergiat aktif dalam menyertai program-program kenegaraan," katanya.

HALIMAH
HALIMAH

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Debat Perpaduan Keluarga Malaysia Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2022 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPN, Datuk Noridah Abdul Rahim; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Norison Ramli.

Beliau berkata, pertandingan debat itu juga merupakan satu inisiatif pihak kementeriannya dalam usaha memupuk semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa dan menjadi medium membentuk pemikiran tentang pentingnya keharmonian masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Menurutnya, tema pertandingan yang dibawa iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama, merujuk kepada masyarakat berbilang kaum yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Sementara frasa Teguh Bersama mendukung maksud kekuatan dan kesepaduan yang dicapai secara kolektif dan mampan, katanya.

"Seiring dengan aspirasi Keluarga Malaysia, penglibatan dan sumbangan generasi muda sangat diperlukan dalam memperkukuhkan semangat perpaduan terutamanya dalam kalangan para mahasiswa.

"Melalui pertandingan sebegini, ia dapat menyemarakkan budaya pengucapan awam serta dapat menggalakkan pembudayaan wacana ilmiah dan percambahan idea dalam aspek perpaduan nasional khususnya dari sudut pandangan mahasiswa," katanya

Pertandingan debat peringkat akhir diadakan di UTM, Skudai, Johor Bahru yang menampilkan pasukan dari UM dan UIAM.
Pertandingan debat peringkat akhir diadakan di UTM, Skudai, Johor Bahru yang menampilkan pasukan dari UM dan UIAM.

Kementerian Perpaduan Negara katanya, sentiasa akan menyokong dan menggalakkan penganjuran program berimpak tinggi seperti ini.

Beliau berkata, seramai 120 pembahas melibatkan 30 pasukan dari IPT seluruh negara telah mengambil bahagian dan merakam ucapan terima kasih kepada pihak yang bekerjasama menjayakan program itu iaitu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Sekretariat Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), DBP, UTM serta rakan-rakan strategik seperti Celcom Axiata Berhad dan TNB Energy Services Sdn Bhd.

Pusingan awal debat tersebut diadakan pada 6 dan 7 Ogos lalu secara dalam talian serta disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan YouTube Kementerian Perpaduan Negara.

Sementara pusingan suku dan separuh akhir telah berlangsung pada Jumaat di UTM manakala pusingan akhir diadakan pada Sabtu

Dalam pada itu, Ahmad Fauzi berkata, menerusi usul yang yang didebatkan dalam program tersebut, mahasiswa berupaya berfikiran secara kritis dan kreatif bagi mencadangkan penyelesaian dan penambaikan yang praktikal.

"Ini secara tidak langsung akan melahirkan mahasiswa yang bersikap positif, bertoleransi dan saling menghormati, yang menjadi agenda utama dalam memperkasakan Keluarga Malaysia.

"Saya berharap dengan pesanan yang saya titipkan ini dapat menaikkan lagi semangat untuk terus mengharumkan nama universiti, seterusnya bangsa dan negara," katanya.

Beliau berkata, keharmonian yang terhasil daripada perpaduan antara rakyat Malaysia merupakan satu keistimewaan yang menjadi pemangkin dalam memacu pembangunan negara dan penanda aras kepada masyarakat antarabangsa.

Tambahnya, agenda perpaduan sentiasa dititikberatkan kerana dengan bersatu hati Malaysia dapat membina negara yang aman damai, sejahtera dan rakyatnya sentiasa mementingkan perpaduan dan keamanan, politiknya stabil serta ekonomi yang baik serta dapat menarik minat pelabur asing.

UM dinobatkan sebagai johan debat

Universiti Malaya (UM) muncul Johan dalam pertandingan akhir Debat Perpaduan Keluarga Malaysia Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2022 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai di sini pada Sabtu.

UM muncul Johan dalam pertandingan akhir Debat Perpaduan Keluarga Malaysia Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2020.
UM muncul Johan dalam pertandingan akhir Debat Perpaduan Keluarga Malaysia Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2020.

Kemenangan itu melayakkan Muhammad Nadjawan Mohd Mayan, Aiesya Salsabila Mohd Radzuan, Muhammad Amirul Izwan Ismail dan Ali Hydar Hafizi membawa pulang Geran Aktiviti Sekretariat Rukun Negara (SRN) berjumlah RM20,000; wang tunai RM5,000; piala pusingan, trofi dan sijil.

Sementara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula menjadi Naib Johan menerusi Nurul Hannan Badariah Abd Mutalib; Mohd Zhariff Mohd Tun; Saidah Nafisah Omar dan Muhamad 'Aqil Mujahid Mukhtar.

Mereka membawa pulang Geran Aktiviti SRN berjumlah RM10,000; wang tunai RM3,000; trofi dan sijil.

Pendebat Terbaik (Akhir) pula menjadi milik Muhammad Nadjawan yang membawa pulang wang tunai RM1,000; trofi dan sijil.

Sementara itu, Muhammad Amirul Izwan berkata, mereka tidak menyangka pasukan debat UM akan menang dalam pertandingan akhir debat tersebut walaupun memang meletakkan sasaran untuk menjadi Johan.

Dia berkata, pasukannya mengambil masa kira-kira sebulan untuk berlatih sebagai persiapan pertandingan itu dan bersyukur kerana menang dalam setiap pusingan sebelum layak ke peringkat akhir.

Menurutnya, semua usul yang didebatkan terutama dalam pertandingan akhir itu amat penting serta relevan dengan perkembangan isu semasa.

"Contohnya usul debat hari ini iaitu wajarkah kerajaan campur tangan dalam polisi syarikat swasta dalam isu pengambilan pekerja yang sebelum ini didakwa mempunyai unsur diskriminasi," katanya ketika ditemui.

Pusingan awal debat tersebut diadakan pada 6 dan 7 Ogos lalu secara dalam talian serta disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan YouTube Kementerian Perpaduan Negara.

Sementara pusingan suku dan separuh akhir telah berlangsung pada Jumaat di UTM manakala pusingan akhir diadakan pada Sabtu.

Bagi Saidah Nafisah pula, pasukannya yang menjadi Naib Johan pertandingan itu akan menjadikan keputusan tersebut dan pengalaman mereka sebagai satu motivasi untuk berusaha lebih gigih pada masa akan datang.

"Sepanjang pertandingan debat ini banyak pengalaman dan pengajaran dapat diambil," katanya dan memberitahu keempat-empat mereka sudah aktif dalam berdebat sejak di sekolah sebelum meneruskan minat itu di UIAM.

Bagi Muhammad Nadjawan yang menang sebagai Pendebat Terbaik (Akhir) pada pertandingan itu, dia menganggapnya sebagai satu kelebihan dan berpendapat kemenangan itu kerana mampu memberi pemahaman yang mudah kepada pihak juri.

Dia berharap hasil dan masalah diutarakan dalam debat tersebut akan dapat disuarakan di platform lebih besar seperti di Dewan Rakyat supaya dapat membaiki kelemahan polisi atau dasar terbabit.