Lelaki cabut CCTV di Tamarind Square dikenal pasti

No Image Caption
A
A
A

CYBERJAYA - Polis sudah mengenal pasti lelaki yang bertindak melakukan perbuatan khianat dengan mencabut kamera litar tertutup (CCTV) dan membuangnya di semak berhampiran di pusat komersial Tamarind Square di sini, pada Khamis.

Tular di media sosial dua video berasingan menunjukkan lelaki sama turut didapati melakukan perkara mencurigakan seperti memanjat kereta dari depan ke belakang, cubaan membuka pintu unit dan kereta, menyelongkar motosikal di kawasan parkir dan menggunakan alat pemadam api tanpa sebab.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata, badan pengurusan Tamarind Square pada 12 Ogos kira-kira 10.30 pagi telah memeriksa bilik CCTV dan mendapati satu daripada kamera tidak berfungsi.

Beliau berkata, menerusi rakaman CCTV yang lain, didapati seorang lelaki telah mencabut kamera CCTV itu dan membuangnya di bahagian semak berhampiran bangunan.

Katanya, kamera tersebut kemudiannya telah ditemui, dipasang semula dan berfungsi dengan baik.

"Tempat kejadian adalah kawasan tempat letak kenderaan di Tamarind Square dan jalan keluar masuk Tamarind Square, manakala jarak antara kamera CCTV dicabut dan kereta dipanjat adalah lebih kurang 150 meter,” katanya sambil menambah kereta berkenaan tiada kesan kemek dan calar manakala lelaki itu belum ditahan. - Bernama