Bina Empangan Sabo di Gunung Inas, perlahankan aliran sungai

Pemandangan puncak Gunung Inas dari udara ketika tinjauan Muhammad Sanusi menggunakan helikopter bagi meninjau kerosakan akibat kepala air Julai lalu. - Foto: FACEBOOK MUHAMMAD SANUSI
Pemandangan puncak Gunung Inas dari udara ketika tinjauan Muhammad Sanusi menggunakan helikopter bagi meninjau kerosakan akibat kepala air Julai lalu. - Foto: FACEBOOK MUHAMMAD SANUSI
A
A
A

ALOR SETAR - Dua Empangan Sabo akan dibina di kaki Gunung Inas, Baling bagi memperlahankan aliran air sungai selain berfungsi untuk menghalang kayu atau batu daripada memusnahkan penempatan sekiranya berlaku aliran deras atau kepala air.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, empangan tersebut diyakini dapat mengelak kemusnahan lebih besar di kawasan hilir sungai seperti yang berlaku dalam tragedi banjir dan kepala air di Kampung Iboi Julai lalu.

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah pun mengenal pasti kawasan yang akan dibina Empangan Sabo tersebut yang mana kos pembinaannya dijangka mencecah RM40 juta seunit.

"Dua Empangan Sabo itu akan dibuat majlis pecah tanah secepat mungkin, namun kita akan bina yang pertama dahulu.

"Kalau kita baiki kerosakan di Gunung Inas itu macam mana sekalipun, ia tetap jadi laluan air pada masa akan datang. Cuma apa yang boleh dibuat pada laluan air supaya tidak terlalu deras hingga menghentam infrastruktur atau kediaman ialah kita binalah Empangan Sabo," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program penutup sambutan Hari Belia peringkat negeri di sini pada Sabtu.

Mengulas gesaan beberapa pihak yang mahu kerajaan negeri pulihkan segera kerosakan di Gunung Inas, Muhammad Sanusi tegaskan, hutan yang gondol atau kawasan balak yang ditebang akan kembali tumbuh dengan sendirinya kerana ia sifat semula jadi hutan.

"Insya-ALLAH pokok hutan akan tumbuh sendiri. Semua hutan bukan kita pi tanam, ALLAH SWT jadikan semua hutan di Kedah ini, tak ada siapa bawa benih dan tanam. Semua ALLAH SWT yang tumbuhkan, jadi nak pulih macam mana?

"Hutan yang sudah ditebang atau dibalak 30 tahun lagi akan jadi hutan balik. Tempat-tempat yang dirosakkan akibat berlaku banjir dibawa oleh air pun sama," katanya.

Menurutnya lagi, bukan Kedah sahaja yang berdepan musibah kepala air atau hutan diteroka untuk pembangunan ladang, negeri lain turut berbuat demikian namun tidak 'disensasikan'.

"Hutan di tempat lain pun ada. Bukan di Gunung Inas saja. Kalau tempat itu jadi laluan air, muka bumi dia macam itulah. Cuma Gunung Inas popular sebab semua tumpu situ. Saya pun hairan, pasal apa tak pi tempat lain?

"Di Pahang ada, Terengganu atau negeri lain pun banyak kesan-kesan bawaan air. Dalam keadaan kita terima hujan lebat, memang bawaan air banyak, tapi suka sangat tumpu Gunung Inas," soalnya.

Mengulas sama ada pemaju Musang King di puncak Gunung Inas membuat permohonan baharu atau hanya mohon pada Jun lepas untuk tanaman tersebut, Muhammad Sanusi berkata, ia di luar pengetahuannya.

"Sejak Julai 2020 lagi saya sudah katakan, ada tujuh spesies yang dibenarkan tanam untuk ladang hutan, durian tidak termasuk. Jabatan Perhutanan maklumkan dibenarkan 20 peratus sahaja, selepas itu kalau nak tanam kena mohon.

"Kalau baru mohon, kemungkinan tidak lulus atau lulus bergantung pada sebab musabab. Mesti ada justifikasi untuk bagi lulus atau pun tidak diluluskan pun ada justifikasinya," ujarnya lagi.

Muhammad Sanusi berharap orang ramai merujuk kepada hasil kajian yang dibentangkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) 5 Ogos lalu, yang melaporkan banjir puing yang berlaku di 12 kampung sehingga meragut tiga nyawa disebabkan oleh fenomena proses geologi berangkai iaitu kejadian tanah runtuh serentak secara meluas di cerun perbukitan granit terluluhawa.

"Selepas jawatankuasa keluarkan laporan saintifik pun masih ada pihak yang tak mahu terima, ini tidak adil. Orang ramai perlu dibekalkan dengan maklumat yang cukup dan benar dengan perspektif yang betul serta fakta dan kajian munasabah.

"Walaupun kita tak suka adanya ladang Musang King itu, tetapi mereka ada kelulusan yang bukan diluluskan pada zaman saya. Mereka ada kebenaran dan lalui semua proses dan kalau tiba-tiba kita asyik hentam, mereka boleh saman kita," katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha KeTSA, Datuk Rosli Isa dilaporkan berkata, berdasarkan laporan Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling itu turut mengesan ratusan tanah runtuh kecil yang sudah berlaku sejak lebih 15 tahun lalu.