Skim Tanah Warisan bantu peserta miliki rumah sendiri

Wan Rosdy (kiri) menyerahkan surat tawaran STW kepada peserta terpilih ketika majlis itu di Kampung Kuala Medang, Kuala Lipis pada Sabtu.
Wan Rosdy (kiri) menyerahkan surat tawaran STW kepada peserta terpilih ketika majlis itu di Kampung Kuala Medang, Kuala Lipis pada Sabtu.
A
A
A

LIPIS - Golongan B40 khususnya di Pahang terus mendapat perhatian kerajaan negeri menerusi projek perintis, Skim Tanah Warisan (STW) yang merupakan program julung kali diperkenalkan pada tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berbeza dengan skim lain, STW akan dilengkapi dengan infrastruktur asas seperti jalan raya, sistem perparitan, bekalan air serta elektrik dan lain-lain.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 2021 bersetuju mewujudkan STW untuk mempelbagaikan lagi skim tanah sedia ada supaya boleh memaksimumkan pemilikan tanah untuk rakyat di negeri ini.

"Program ini melibatkan pemberian hak tanah lot-lot perumahan seperti Rancangan Tanah Kelompok (RTK) dan Skim Tanah Rakyat (STR).

"Tujuan utama skim ini dilaksanakan adalah untuk meringankan beban kewangan peserta bagi memiliki lot tanah dan membina kediaman sendiri.

"Di bawah skim ini, lot-lot tapak perumahan tersebut akan ditawarkan pada harga sangat minimum bagi setiap lot di mana kerajaan negeri memberikan subsidi kepada premium tanah dan juga kos pembangunan infra," katanya.

Beliau berkata sedemikian sempena Majlis Pelancaran dan Penyerahan Surat Tawaran STW Kuala Medang dan Penyampaian Suratan Hak Milik Rancangan Fecra Kuala Medang di tapak STW Jelai, Kampung Kuala Medang di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Rahim Muda dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad.

Wan Rosdy berkata, untuk projek perintis ini program STW di Kuala Medang di daerah Lipis dijalankan di atas tanah kerajaan seluas 30.425 hektar yang akan memberikan manfaat kepada 250 peserta.

"Keluasan bagi setiap lot kediaman adalah antara 8,000 hingga 10,000 kaki persegi dengan bayaran premium bagi setiap lot ditetapkan RM10,000 sahaja," katanya.

Tambahnya, bagi mempermudahkan lagi peserta terpilih, hak milik tanah turut diberi moratorium selama 10 tahun dan peserta dibenarkan mencagar di mana-mana institusi pinjaman bagi mendapatkan pinjaman untuk membina rumah di atas lot tanah berkenaan.

"Oleh itu, kos pembinaan rumah ditanggung sepenuhnya oleh peserta mengikut kemampuan kewangan dan kesesuaian lot tapak diperoleh namun perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Setiap peserta STW ini perlu membina rumah dalam tempoh lima tahun dari tarikh mendapat hak milik, jika dalam tempoh tersebut masih tidak dibina, kalau ada alasan kukuh boleh dipertimbangkan lagi," katanya.

Beliau berkata, syarat dan kelayakan peserta bagi skim ini adalah rakyat Pahang dan penduduk setempat, berpendapatan rendah serta mana-mana pemohon yang difikirkan layak oleh jawatankuasa pemilihan.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Pekan menjadi lokasi seterusnya bagi projek skim tersebut dan akan dibuka di kawasan lain jika ada keperluan dan kemampuan.