Pas Selangor terima lebih 500 ahli baharu setiap bulan

Roslan Shahir
Roslan Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor menerima lebih 500 ahli baharu menyertai parti tersebut setiap bulan selepas Kempen Pas Pilihanku 4.0 dilancarkan di Kedah sejak Jun lalu.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, peningkatan itu menjadikan jumlah ahli baharu parti tersebut seramai 122,645 orang setakat ini.

Menurutnya, majoriti ahli baharu menyertai Pas tinggal di kawasan majoriti Melayu seperti di Gombak, Sabak Bernam dan Kuala Langat.

Tambah beliau, kawasan lain yang hanya 20 peratus orang Melayu seperti di Subang Jaya, Kota Raja turut mengalami peningkatan pendaftaran ahli baharu Pas.

"Ia menunjukkan anak muda khususnya, lebih cenderung kepada politik penyatuan ummah.

"Kami juga akan adakan Kempen Pas Pilihanku 4.0 di peringkat Selangor di Sungai Baru, Sabak Bernam pada 21 Ogos ini dengan sasaran seramai 1,000 ahli baharu akan mendaftar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Roslan Shahir menafikan hubungan Pas di Selangor dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) didakwa dingin.

Katanya, hubungan mereka dalam MN masih utuh kerana masing-masing mempunyai matlamat sama untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

"Di Selangor, (hubungan) UMNO dan Pas tidak dingin. Di negeri lain mungkin mereka bersaing sesama sendiri, tapi di Selangor, agenda kita adalah untuk tumbangkan PH.

"Hubungan UMNO dan Pas kekal kerana kami mempunyai musuh politik yang sama. Jadi, agenda penyatuan ummah itu masih kekal," katanya.