PRU15: Pas perlu letak 50 peratus calon muda di Selangor

Pas adalah parti yang mengangkat anak muda dan bersedia memimpin kebangkitan anak muda untuk membawa perubahan berpandukan Islam dan prinsip keadilan.
Pas adalah parti yang mengangkat anak muda dan bersedia memimpin kebangkitan anak muda untuk membawa perubahan berpandukan Islam dan prinsip keadilan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor berharap pucuk pimpinan parti itu memberikan lebih banyak peluang kepada anak muda untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Selangor.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, beliau telah mengusulkan supaya 50 peratus calon muda diletakkan di Selangor.

Menurutnya, Pemuda Pas Selangor bersedia memikul tanggungjawab dan amanah parti sebagai calon-calon yang bertanding.

"Realiti kini, rakyat lebih mudah menerima calon muda dan wajah baru yang dilihat lebih bertenaga dalam melaksanakan tugas wakil rakyat sebagaimana keputusan siri-siri pilihan raya kecil yang terkini.

"Pas adalah parti yang mengangkat anak muda dan bersedia memimpin kebangkitan anak muda untuk membawa perubahan berpandukan Islam dan prinsip keadilan, " katanya pada Isnin.

Pada Ahad, beliau pada Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Selangor ke-56 di Dewan Seri Jugra, Banting mengusulkan cadangan tersebut.

Desakan agar 50 peratus calon Pas di seluruh Selangor di kalangan anak muda turut diusulkan oleh perwakilan daripada Dewan Pemuda Pas Bangi yang kemudiannya disokong sebulat suara oleh 176 perwakilan yang hadir.