Maklum waris jika berikrar derma organ: Khairy

Khairy Jamaluddin ketika Majlis Pelancaran Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 secara dalam talian, pada Sabtu.
Khairy Jamaluddin ketika Majlis Pelancaran Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 secara dalam talian, pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengikrar penderma organ dinasihatkan untuk maklumkan hasrat mereka kepada ahli keluarga dan waris bagi memastikan ia dapat direalisasikan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, hajat murni berkenaan hanya dapat dilaksanakan apabila ahli keluarga dan waris mengetahui serta memahaminya.

Tambah beliau, negara juga banyak mengeluarkan perbelanjaan bagi rawatan seperti Haemodialisis berikutan masih kekurangan penderma organ.

“Masalah yang kita ada sekarang ini walaupun individu yang meninggal dunia itu telah berikrar untuk mendermakan organ mereka selepas meninggal dunia, tetapi ahli keluarga mereka tidak berikan izin atau kebenaran untuk organ itu diambil bagi tujuan pendermaan organ.

“Di negara-negara lain ia dapat dielakkan dengan transplantasi organ seperti transplantasi buah pinggang.

"Perkara ini tidak berlaku di negara kita kerana tidak ramai telah berikrar untuk menderma organ,” katanya sewaktu Majlis Pelancaran Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 secara dalam talian, pada Sabtu.

Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan itu dianjurkan bertujuan untuk memberi kesedaran melalui promosi dan pendidikan berterusan kepada masyarakat berkaitan pendermaan organ dan transplantasi sebagai salah satu teknologi perubatan bagi menyelamatkan nyawa.

Pelbagai aktiviti turut dijalankan dengan bertemakan Derma Organ: Cakna Demi Kehidupan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut aktiviti berkenaan menerusi Facebook rasmi Derma Organ.