Penjawat awam tidak terlepas dikenakan tindakan: Hamzah

Hamzah
Hamzah
A
A
A

LARUT - Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang terlibat dalam jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan akan diambil mengikut perundangan yang sedia ada selain membantu memulihkan kembali mereka yang terlibat.

"Kita akan ambil tindakan kepada semua penjawat sama ada dalam polis mahu pun agensi-agensi lain. Sekiranya mereka menjual dadah, hukumannya berat sekali.

"Tetapi sekiranya terjebak, kita akan ambil tindakan dengan membawa menjalani pemulihan sebelum dikembalikan kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Komuniti Bebas Jenayah dan Dadah di Dewan Semai Bakti, Felda Ijok, Selama di sini pada Sabtu.

Hamzah (dua dari kiri) menyampaikan penghargaan kepada penduduk yang menyertai Program Komuniti Bebas Jenayah dan Dadah di Selama.
Hamzah (dua dari kiri) menyampaikan penghargaan kepada penduduk yang menyertai Program Komuniti Bebas Jenayah dan Dadah di Selama.

Ditanya mengenai tindakan dengan menghantar mereka terlibat ke Sabah dan Sarawak, Hamzah menegaskan bahawa perpindahan penjawat awam adalah melibatkan semua negeri dan bukannya 'melonggokkan' ke negeri Borneo itu.

"Tidak betul kerana kita hantar semua negeri bukan kita longgokkan ke Sabah atau Sarawak sahaja. Ada di Johor dan lain-lain, semua ini kita pusingkan.

"Saya tidak mahu mengatakan yang salah dihantar ke Sabah dan Sarawak. Kita tangkap ramai dan yang melakukan kesalahan juga ramai jadi kita pusing-pusingkan mereka di tempat tertentu.

"Jadi tidak adil mereka diletakkan di Sabah dan Serawak semata-mata, ada juga di tempat lain," katanya.

Menurut beliau, kerjasama semua pihak merupakan kunci utama dalam menangani kegiatan jenayah serta dadah dan bukannya meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak berkuasa sahaja.

"Apabila disebutkan isu keselamatan itu tanggungjawab bersama termasuk kepimpinan masyarakat. Ini memberi satu pengalaman dan pengajaran bahawa negara ini boleh menjadi negara maju apabila keselamatan itu terjaga.

"Kita tidak boleh berikan tanggungjawab atas bahu agensi kerajaan semata-mata kerana seluruh negara kita ada lebih 180,000 anggota polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan pula 6,000 kakitangan manakala penduduk ada lebih 32 juta orang," katanya.

Hamzah berkata, penglibatan individu dalam aktiviti dadah akan cenderung terjerumus kepada jenayah lebih berat termasuk bunuh.