Tunku Azizah berkenan buka sidang pertama Konvokesyen UIAM ke-37

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bertitah pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-37 hari ini. - Foto Bernama
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bertitah pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-37 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan membuka sidang pertama Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ke-37 hari ini.

Tunku Azizah yang juga Ketua Perlembagaan UIAM dalam titah ucapan baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan UIAM dan penerima anugerah pada majlis itu.

"Ketika anda memulakan perjalanan baharu, peganglah nilai-nilai yang anda peroleh dari UIAM, sebuah institusi yang bermatlamat untuk melahirkan individu sejahtera, memiliki kualiti luar biasa, memimpin dunia berpandukan ilmu dan empati, membawa rahmat kepada semua.

"Beta amat berharap institusi ini telah membentuk anda menjadi seorang yang khair, cendekiawan yang termaju dalam setiap disiplin ilmu, menawarkan penyelesaian dan kejayaan. Beta mendoakan yang terbaik dalam usaha seterusnya,” titah baginda.

Tunku Azizah turut menzahirkan takziah atas pemergian bekas Perdana Menteri Jepun, mendiang Shinzo Abe iaitu penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi Politik pada majlis Konvokesyen UIAM ke-36.

Pada majlis itu, Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmood Pa’wan Teh menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Transformasi Komuniti dan Dakwah Islam atas sumbangan jasa dan bakti beliau dalam pembangunan komuniti terutama di daerah Gombak.

Bekas pesara kerajaan yang juga penasihat dan patron untuk 46 buah masjid serta 275 buah surau di daerah itu adalah antara 127 graduan doktor falsafah diraikan pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UIAM hari ini.

Wan Mahmood, 92, yang juga Ahli Dewan Diraja Selangor, Penasihat kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dari 1983 hingga kini menerima skrol ijazah kehormat itu daripada Tunku Azizah.

Selain beliau, Allahyarham Dr Robert Dickson Crane atau nama Islamnya Faruq Abs Al Haqq menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) Dialog Peradaban pada majlis tersebut.

Menurut kenyataan UIAM, Crane meninggal dunia pada 12 Disember tahun lepas pada usia 92 tahun diiktiraf sebagai seorang daripada 500 orang berpengaruh Tokoh Islam Dunia bagi kategori Hal Ehwal Pentadbiran Agama 2020 dan aktivis Islam yang banyak memberikan sumbangan terutama di Amerika Syarikat.

Sementara itu, Health Action International Asia-Pacific (HAIAP) menerima Anugerah Ibnu Khaldun Merit Award for Global Social Transformation atas sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) itu kepada masyarakat di peringkat global.

HAIAP bertindak sebagai aktivis ke arah meningkatkan kesedaran kepada akses dan ubat-ubatan dalam bidang farmasi melalui kecemerlangan penyelidikan, advokasi, pendidikan dan kempen. - Bernama