FMM: Jangan lewatkan kelulusan pekerja asing

Soh Thian Lai
Soh Thian Lai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) mengulangi gesaan agar prosedur permohonan semasa untuk kelulusan pekerja asing dikekalkan bagi menjamin kelicinan keputusan.

Presiden Tan Sri Soh Thian Lai berkata, FMM berpendapat bahawa prosedur permohonan pekerja asing semasa tidak boleh dihentikan kerana ia akan mengganggu pemulihan ekonomi semasa.

"Prosedur ini merangkumi pengagihan proses temuduga melalui Pusat Sehenti di pejabat buruh negeri bagi membolehkan proses permohonan pekerja asing oleh industri berjalan lancar," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Kenyataan FMM itu adalah reaksi kepada pemberhentian sementara proses permohonan pekerja asing oleh Kementerian Sumber Manusia (MOHR) mulai 15 Ogos hingga 31 Ogos 2022, untuk menyemak semula prosedur permohonan.

Thian Lai berkata, pengagihan proses temuduga melalui Pusat Sehenti ke pejabat buruh negeri yang baru diperkenalkan pada 1 Ogos 2022 adalah sangat memudahkan untuk menangani kesibukan dalam proses temuduga serta memudahkan perjalanan dan kesesakan di Pusat Sehenti MOHR di Putrajaya.

"Penggantungan yang agak kerap dalam pemprosesan permohonan pekerja asing (penggantungan terakhir adalah dari 1 Jun hingga 15 Jun 2022) sangat mengganggu perancangan industri bagi mendapatkan pekerja mereka semasa tempoh yang sangat kritikal seperti sekarang, yang mana industri terus menghadapi pelbagai cabaran dalam operasi termasuk kekurangan tenaga kerja yang menjejaskan keupayaan mereka untuk beroperasi pada kapasiti maksimum ke arah pemulihan perniagaan,” tambah Thian Lai. - Bernama