PRU15: Wan Saiful mahu bertanding di Parlimen Kubang Pasu

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

MARANG - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Kubang Pasu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, beliau bersedia untuk bertanding di kerusi itu sekiranya diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

"Sebagai ahli Bersatu di Kubang Pasu, saya akan bantu jentera Bersatu di Kubang Pasu dan sudah tentu minat saya di Parlimen itu.

"Bagaimanapun, keputusan akhir perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti kerana mereka mungkin mempunyai calon yang lebih baik daripada saya sendiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perjumpaan tertutup Penerangan Bersatu di sini, pada Jumaat.

Jelas beliau, kerusi Parlimen itu sebelum ini dimenangi Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang bertanding atas tiket Bersatu sebelum melompat ke Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

"Apabila beliau (Amiruddin) pergi ke Pejuang, maka kerusi itu sepatutnya dikekalkan sebagai kerusi Bersatu.

"Walaupun begitu, penentuan calon di Parlimen akan dibincangkan dengan Pas serta rakan-rakan daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN)," ujarnya.

Pada PRU14 lalu, Amiruddin memenangi Parlimen Kubang Pasu dengan majoriti 13,009 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Baharom yang mendapat 16,975 undi manakala calon Pas, Norhafiza Fadzil (13,375 undi).

Pada pilihan raya itu juga, Wan Saiful tewas di Parlimen Pendang selepas kecundang kepada calon Pas, Awang Hashim.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, Bersatu akan turut mempertahankan empat kerusi parlimen iaitu Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu dan Sri Gading yang dimenangi atas tiket Bersatu pada PRU14.