Bekalan air di 397 kawasan Lembah Klang pulih

Gangguan bekalan air di 397 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat pulih sepenuhnya pada Jumaat.
Gangguan bekalan air di 397 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat pulih sepenuhnya pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Berhad (Air Selangor) memaklumkan gangguan bekalan air di 397 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat pulih sepenuhnya pada jam 3 petang pada Jumaat.

Bekalan air di kawasan terbabit terjejas berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dihenti tugas sementara susulan insiden pencemaran minyak di Sungai Semantan, Karak, Pahang yang disebabkan oleh kemalangan di Lebuhraya Karak-Bentong menuju ke Kuala Lumpur pada Rabu.

“Air Selangor ingin memaklumkan bahawa bekalan air di 397 kawasan di tiga wilayah Air Selangor yang terjejas berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Langat 2 semalam telah pulih sepenuhnya pada jam 3 petang.

“Terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” kata Air Selangor dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

LRA Langat 2 dihenti tugas sementara sejak 4.30 pagi Khamis menyebabkan gangguan bekalan air di 397 kawasan iaitu Petaling (3), Kuala Lumpur (172) dan Hulu Langat (222) mulai 10 pagi.

Namun, ia mula beroperasi semula pada jam 3.30 petang Khamis bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan dan air mula disalurkan secara berperingkat apabila sistem agihan bekalan air berjaya distabilkan.