Ops ATM: KPDNHEP rampas minyak masak bernilai lebih RM2 juta

Azman (kanan) mengetuai pemeriksaan di sebuah pasar raya di Batu Caves pada Jumaat.
Azman (kanan) mengetuai pemeriksaan di sebuah pasar raya di Batu Caves pada Jumaat.
A
A
A

GOMBAK - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi Ops Ayam, Telur dan Minyak Masak (Ops ATM) mengesan sebanyak 126 kes penyelewengan pembekalan minyak masak termasuk bersubsidi dengan nilai rampasan RM2.413 juta bagi tempoh 1 Julai hingga Khamis.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adnan berkata, kes-kes berkenaan dikesan hasil tindakan penguatkuasaan KPDNHEP ke atas pelbagai peringkat rantaian pengedaran seperti pengilang, pemborong dan peruncit di seluruh negara.

Menurutnya, KPDNHEP mewujudkan Ops ATM sejak 23 Jun lalu bagi mengatur gerak kerja pemeriksaan dan pemantauan membabitkan KPDNHEP negeri dan daerah susulan daripada keputusan yang dicapai menerusi Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

"Pemeriksaan ini juga diperluas kepada item barangan keperluan harian pengguna yang lain dalam aspek pematuhan penandaan harga," katanya kepada pemberita selepas mengetuai pemeriksaan di sebuah pasar raya di Batu Caves di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, KPDNHEP akan terus menjalankan pemeriksaan secara komprehensif dengan mengenal pasti premis runcit utama yang menjadi tumpuan pengunjung di sesebuah lokaliti bagi memastikan bekalan minyak masak kelapa sawit tulen dalam botol dijual pada harga maksimum yang ditetapkan.

Menurutnya, peniaga yang didapati gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2022 boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti di bawah kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.

"Bagi individu pula boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 dan bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya.

Dalam pada itu, KPDNHEP turut meminta pengguna untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan dan aduan berkaitan peniaga yang menjual minyak masak kelapa sawit tulen dalam botol melebihi harga maksimum ke saluran rasmi KPDNHEP.