Salinan daftar kelahiran Rozman, bapa, adik diberi kepada SPRM

Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli. - Foto Bernama
Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat diberitahu bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sabah telah membekalkan salinan sah daftar kelahiran Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, bapa dan adik lelakinya, kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penolong pegawai pendaftaran di Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat, JPN Penampang, Sabah Christine Pamela Eyong, 39, berkata salinan itu diserahkan kepada SPRM selepas menerima permohonan untuk dibekalkan salinan itu pada 12 Februari 2020.

"Saya telah membuat semakan melalui sistem berkomputer, Sistem Informasi Rekod Penduduk Negara (SIREN), dan saya telah membekalkan maklumat cabutan kelahiran tersebut kepada pihak SPRM pada 16 Mac 2020,” kata saksi pendakwaan ketiga itu.

Beliau berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksinya pada hari kedua perbicaraan kes Rozman, yang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM), yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Tiada pemeriksaan balas daripada pihak peguam dan juga pemeriksaan semula oleh pihak pendakwaan, selepas saksi membacakan pernyataan saksinya pada prosiding hampir setengah jam itu.

Rozman, 57, dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi, manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 4 Oktober ini. - Bernama