'Cantik...Banyak bendera di Felda Jengka 24'

Kibaran Jalur Gemilang sudah mula menghiasi kawasan Felda Jengka 24.
Kibaran Jalur Gemilang sudah mula menghiasi kawasan Felda Jengka 24.
A
A
A

JENGKA - Sempena bulan kemerdekaan, kibaran Jalur Gemilang sudah mula menghiasi kawasan Felda Jengka 24, di sini.

Ketua Penerokanya, Razak Daud berkata, pemasangan Jalur Gemilang itu merupakan inisiatif penduduk membuat persiapan untuk menyertai pertandingan sempena Hari Kebangsaan 2022 di bawah kelolaan Pejabat Felda Wilayah Jengka.

"Dengan reputasi sebagai juara tiga kali berturut-turut di Wilayah Jengka bagi kategori kampung patriotik, Felda Jengka 24 membuat persiapan rapi bagi mempertahankan gelaran tersebut.

"Ia juga untuk menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini. Lebih 10,000 bendera akan dipasang. Kami akan bekerjasama memasang dan menghias bendera secara gotong-royong mengikut kawasan ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pada masa sama penduduk terlibat sudah rancak menghiasi halaman rumah mereka dengan Jalur Gemilang mengikut kreativiti masing-masing.

“Tahun ini kami bersungguh-sungguh mahu mempertahankan kejuaraan. Di samping keterujaan itu, usaha kami ini juga dapat merancakkan dan menyemai semangat patriotik dalam kalangan warga Felda khususnya generasi muda," katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Wilayah Jengka, Tarmizi Lee berkata, sebanyak 37 tanah rancangan di bawah Wilayah Jengka akan menyertai pertandingan sempena Hari Kebangsaan 2022 itu di bawah kelolaan Pejabat Felda Wilayah Jengka.

Menurutnya, pelbagai kategori dipertandingkan antaranya Felda dan rumah paling patriotik.

“Sambutan tahun ini dijangka lebih meriah kerana selain kediaman, klinik kesihatan, sekolah menengah dan rendah, koperasi Felda, pusat internet, masjid serta rumah kakitangan menyertai pertandingan ini untuk merebut hadiah yang disediakan oleh pengurusan Wilayah Jengka," katanya.