MAIWP rancang tubuh Majlis Perundingan Kewangan Sosial Islam

A
A
A

Mohd Daud (depan, tiga dari kanan) bersama peserta program Diskusi MAIWP: Instrumen Kewangan
Islam Dalam Organisasi yang diadakan pada Khamis.
Mohd Daud (depan, tiga dari kanan) bersama peserta program Diskusi MAIWP: Instrumen Kewangan Islam Dalam Organisasi yang diadakan pada Khamis.

KUALALUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merancang mewujudkan Majlis Perundingan Kewangan Sosial Islam bersama rakan strategik bagi memperkasa dan meneroka sumber dana baharu untuk disalurkan kepada masyarakat.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, program itu akan dimulakan pada tahun ini di Wilayah Persekutuan sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu menjadi medium diskusi bertaraf nasional antara

MAIWP bersama rakan strategik seperti syarikat korporat, institusi pendidikan dan kewangan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada.

“MAIWP akan menguar-uarkan pelan dan tindakan yang dilakukan. Kami juga ingin melihat sumber am negara yang boleh digunakan oleh MAIWP selain dana zakat serta wakaf.

“Banyak lagi agenda yang boleh dibincangkan seperti Wang Tidak Dituntut (WTD) yang terbiar di peringkat negara.

“Apa salahnya MAIWP diberikan peluang untuk menjadi pengurus kepada WTD yang melibatkan golongan masyarakat Islam,” katanya.

Beliau ditemui pada program Diskusi MAIWP: Instrumen Kewangan Islam Dalam Organisasi yang berlangsung di Hotel Sunway Putra di sini pada Khamis.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibawa dalam mesyuarat di peringkat MAIWP pada 23 Ogos ini untuk dibincangkan.

“Jika diluluskan, kertas kerja akan dibuat disusuli penetapan anggota-anggota terlibat mewakili MAIWP dan syarikat korporat, pakar Islam, GLC serta kementerian seperti Kementerian Kewangan.

“Sasaran MAIWP agar cadangan berkenaan dapat disiapkan pada tahun ini,” ujarnya.