KKR siap siaga hadapi banjir

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof ketika meninjau lokasi Jambatan Sungai Durian pada Program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 di Jalan Lama Bentong - Raub, pada Khamis. - Foto Bernama
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof ketika meninjau lokasi Jambatan Sungai Durian pada Program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 di Jalan Lama Bentong - Raub, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LIPIS - Kementerian Kerja Raya (KKR) bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir ekoran musim tengkujuh yang dijangka melanda negara tidak lama lagi.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, persediaan itu termasuk pengoperasian bilik gerakan bencana pasukan itu di peringkat negeri dan daerah mengikut keperluan semasa.

"Kami juga akan siap siaga dengan jentera kami dan menerusi langkah-langkah ini, kami akan pastikan jalan (di lokasi banjir) sentiasa boleh dilalui.

"Sekiranya jalan tersebut tidak dapat dilalui, kita akan bekalkan maklumat berhubung jalan alternatif yang ada sebagai panduan pasukan keselamatan yang turun membantu (mangsa banjir) terutama mereka yang membawa bekalan ubatan dan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat lokasi runtuhan cerun di Jalan Bentong - Gua Musang di sini dalam program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 anjuran KKR.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Seri Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Fadillah berkata, tumpuan KKR bukan sahaja di negeri yang kerap dilanda banjir seperti di pantai timur, tetapi semua negeri yang berpotensi banjir berdasarkan sejarah sebelum ini.

Sementara itu, mengulas mengenai runtuhan cerun di Jalan Bentong - Gua Musang itu, beliau berkata kerja pembaikan cerun yang mengambil masa enam bulan telah siap sepenuhnya pada 19 Julai lepas dengan jumlah keseluruhan kos (pembaikan) sebanyak RM4.5 juta.

Artikel Berkaitan:

"Runtuhan cerun di laluan Jalan Persekutuan Seksyen 85.7 Jalan Bentong - Gua Musang berlaku akibat banjir di lokasi itu pada Disember lepas dan alhamdulillah pembaikannya telah selesai,” katanya.

Program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur berlangsung tiga hari bermula hari ini dengan menjelajah ke tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Perak bagi meninjau pembaikan infrastruktur pasca banjir, penyelenggaraan jalan Persekutuan dan projek infrastruktur awam KKR. - Bernama