Malaysia #QuranHour dijangka disertai 5 juta peserta

Program Malaysia #QuranHour 2022 akan diadakan pada 30 Ogos depan. (Gambar kecil: Marhaini)
Program Malaysia #QuranHour 2022 akan diadakan pada 30 Ogos depan. (Gambar kecil: Marhaini)
A
A
A

SHAH ALAM – Program Malaysia #QuranHour 2022 yang akan diadakan pada 30 Ogos depan dijangka disertai seramai 3,000 peserta di lokasi perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, ia turut menerima penyertaan daripada orang awam menerusi saluran televisyen dan digital dengan anggaran seramai lima juta peserta.

Marhaini menjelaskan program yang diadakan sempena hari kemerdekaan Malaysia itu bagi mengajak rakyat di dalam dan luar negara untuk meraikan hari kemerdekaan dengan kembali mendidik diri menerusi nilai-nilai dari al-Quran.

“Tahun ini kami mengajak untuk kita berinteraksi dengan al-Quran, fokus membaca, faham dan amal Surah Al-Sajdah.

“Pengajaran serta formula utama untuk berinfak dan sujud patuh kepada Allah SWT bagi melahirkan negara 'Baldatun Thoyyibatun wa Rabbun Ghafur' akan dibawakan dalam program pada tahun ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya lagi, pihaknya turut mengesahkan penyertaan seramai 70 peratus qari dan pentadabbur selain negeri-negeri dalam proses mengesahkan lokasi pelaksanaan di tempat masing-masing.

Marhaini menambah, program tersebut akan diisi dengan membaca dan memahami Surah Al-Sajdah selain Pesan Kemerdekaan serta Doa Bersama untuk Malaysia.

"Menerusi tema ‘Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia, Teguh Bersama’, semoga ia dapat kembali terhadap nilai dari Surah Al-Sajdah melalui formula infak dan sujud akan membuat kita sebagai warga Malaysia lebih tunduk jiwanya dan mampu menghancurkan kesombongan warga yang merdeka.

“Seandainya semua keluarga mampu melakukan perubahan pemikiran ini, Insya-ALLAH keluarga Malaysia akan bersatu untuk teguh bersama,” jelasnya.

Program yang diadakan di ruang solat, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya ini akan diadakan pada 30 Ogos ini bermula 12 tengah hari hingga 1 petang yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen rasmi TV Al-Hijrah selain Facebook TV Al-Hijrah dan Quran Hour.