Ahli PAC sudah lawat Lumut Shipyard: Hishammuddin

Tangkap layar Facebook Hishammuddin
Tangkap layar Facebook Hishammuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah melakukan lawatan ke tempat pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) di Lumut Shipyard, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Perak pada 12 Disember 2021.

Menerusi satu balasan di ruang komen Facebook pada Khamis, Hishammuddin turut kongsikan hantaran mengenai lawatan itu yang dibuat oleh seorang ahli PAC iaitu Datuk Dr Mohd Hatta Ramli.

Dalam perkongsian itu terdapat beberapa gambar lawatan ahli PAC ke tempat projek pembinaan LCS itu.

Hishammuddin membuat kenyataan balas bagi menjawab permintaan seorang pengguna Facebook yang memintanya untuk menunjukkan bukti lawatan ahli PAC ke tempat berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong sebelum itu pada Khamis memberikan penjelasan berkenaan perkembangan pembinaan LCS dalam satu hantaran di Facebooknya.

Gambar dibentangkan BNS kepada PAC pada Disember 2021 berkenaan kemajuan pembinaan lima kapal LCS.
Gambar dibentangkan BNS kepada PAC pada Disember 2021 berkenaan kemajuan pembinaan lima kapal LCS.

"Ramai tanya, kenapa tidak nampak apa-apa biarpun duit telah dikeluarkan? Seperti dilaporkan PAC - kapal LCS dibina serentak, dan inventori untuk peralatan kapal yang belum dipasang bernilai RM1.7 bilion," katanya.

Menerusi hantaran tersebut, beliau berkongsikan gambar dibentangkan kepada PAC oleh Boustead Naval Shipyard pada Disember 2021.

Susulan keputusan kabinet meminta supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan terhadap projek pembinaan LCS, Hishammuddin pada Rabu menegaskan, pihaknya akan melakukan apa sahaja bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan.

Katanya, Kementerian Pertahanan akan memberikan kerjasama penuh kepada semua badan berkuasa yang melakukan siasatan seperti SPRM, PAC, Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta audit forensik.