Iskandar Malaysia rekod pelaburan terkumpul RM368 bilion

Mustapa mempengerusikan bersama Mesyuarat ke-15 Jawatankuasa Menteri Besar Malaysia-Singapura di Iskandar Puteri pada Khamis.
Mustapa mempengerusikan bersama Mesyuarat ke-15 Jawatankuasa Menteri Besar Malaysia-Singapura di Iskandar Puteri pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Wilayah Iskandar Malaysia merekodkan nilai pelaburan terkumpul sebanyak RM368 bilion sejak 2006 hingga bulan lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Singapura merupakan pelabur asing kedua terbesar yang melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM25.3 bilion.

"Pelaburan ini melibatkan pelbagai sektor antaranya pembuatan, penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan perniagaan dan pembangunan serta perindustrian.

"Pandemik Covid-19 sejak 2020 lalu memberi kesan buruk kepada kedua-dua negara, namun keputusan untuk membuka semula sempadan Malaysia-Singapura pada 1 April lalu telah mempercepat proses pemulihan ekonomi, khususnya bagi Johor dan Iskandar Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat ke-15 Jawatankuasa Menteri Bersama Malaysia-Singapura bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) dengan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Desmond Lee di sini pada Khamis.

Mustapa berkata, perkembangan pasca pandemik amat memberangsangkan apabila trafik di Tambak Johor dan LinKedua kembali sesak terutama dengan warga Singapura yang kembali meneruskan kunjungan mingguan mereka ke Johor dan Malaysia.

Katanya, Malaysia dan Singapura perlu terus bekerjasama dengan erat bagi berdepan kemungkinan cabaran ekonomi khususnya pada tahun depan dalam usaha meningkatkan ketahanan ekonomi kedua-dua negara," katanya.

Mengenai penganjuran JMCIM, beliau berkata, sejak penubuhannya pada 2007, jawatankuasa berkenaan telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Singapura melalui Iskandar Malaysia.

"Pada mesyuarat terakhir kami pada Disember 2021 yang dihoskan Singapura, kami memutuskan untuk meremajakan JMCIM dan bersetuju menyemak kebanyakan Syarat Rujukan (TOR) Kumpulan Kerja.

"Terdapat pencapaian ketara dalam enam Kumpulan Kerja, dengan lebih daripada 45 inisiatif dan projek strategik sejak penubuhan JMCIM pada 2007," katanya.

Katanya, idea pecah tanah dan projek inovatif seperti Sistem Pembersihan Automatik Malaysia (MACS), M-BIKES, Sister Wetlands dan Projek Transit Pantas (RTS) terhasil daripada platform JMCIM.