Pegawai SPRM sahkan terima arahan tahan Rozman 

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa beliau telah menerima arahan untuk menahan Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli untuk siasatan di bawah Akta SPRM 2009.

Penolong Kanan Penguasa di Unit Siasatan SPRM, Wilayah Persekutuan Labuan, Kamal Ag Besar ,42, berkata, beliau telah membacakan notis penangkapan itu kepada ahli politik berkenaan ketika tertuduh hadir di Pejabat SPRM di Labuan bersama seorang lagi individu pada 16 Julai tahun lepas.

Ketika menceritakan mengenai proses penahanan, saksi pendakwaan pertama itu berkata, beliau telah membawa Rozman ke dalam bilik rakaman percakapan bervideo (VIR) dan memperkenalkan dirinya sambil menunjukkan kad kuasanya sebelum menerangkan tujuan tertuduh diarahkan hadir ke pejabat itu.

"Saya juga memberitahu beliau bahawa saya telah menerima arahan untuk membacakan notis di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 iaitu notis tangkap dan Datuk Rozman faham dengan perkara tersebut dan kemudian beliau sendiri menandatangani notis berkenaan,” katanya sambil menambah peranannya dalam kes ini adalah sebagai pegawai tangkap.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes Rozman yang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM), yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Muntaqim Abdul Aziz manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili tertuduh.

Rozman, 57, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara jam 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan adalah menurut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Artikel Berkaitan:


Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung pada Jumaat. - Bernama