Khairuddin imbau sejarah penubuhan Muafakat Nasional

Ahmad Zahid dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpelukan selepas menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019.
Ahmad Zahid dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpelukan selepas menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengingatkan kembali tentang sejarah penubuhan Muafakat Nasional (MN).

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, beliau mengimbau semula sejarah itu khas buat segelintir pemimpin dan ahli dua parti utama MN iaitu UMNO dan Pas yang sudah lupa tentang perkara berkenaan sempena ulang tahun penubuhannya Sabtu ini.

"Lagi beberapa hari ulang tahun MN, (yang diwujudkan) pada 15 Muharram 1441 bersamaan 14 September 2019. Satu muafakat yang menyatukan umat Islam dalam dua parti besar dengan bilangan penyokong 3.2 juta dan 1 juta.

"Muafakat yang menyatukan adik-beradik dan sanak-saudara yang bergaduh dan berparang di ceruk-ceruk kampung terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Muafakat yang menitiskan air mata 4.2 juta orang Melayu Islam," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

Menurut Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, permuafakatan itu menjadikan ahli dua parti lebih matang, harmoni dan mesra dalam berpolitik kecuali segelintir daripadanya yang masih 'garang berperang' dan 'berparang'.

"Muafakat ini diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas untuk diusahakan sejak 2015 lagi bukan pada 2018 selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi menyatukan umat Islam dan memperkasakan Islam di Malaysia," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegas Khairuddin, tunas muafakat itu pada awalnya bercambah dengan penubuhan semula Majlis Perundingan Islam (MPI) (yang ketika itu) dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri.

Jelasnya, MPI meletakkan pimpinan Pas dan UMNO di satu platform termasuk dengan pelantikan Mursyidul Am Pas ketika itu, (Allahyarham) Datuk Dr Haron Din sebagai Pengerusi Kluster Dakwah MPI dalam Mesyuarat Induk MPI pada 11 Februari 2016.

"Seterusnya menyusul persidangan kali pertama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 12 April 2016 yang menghimpunkan 87 orang tokoh Islam termasuk daripada UMNO dan Pas.

Antara yang dilantik sebagai ahli pelbagai kluster ialah Ketua Dewan Ulama Pas ketika itu, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Datuk Taib Azamuddin dan Khairuddin sendiri bagi mewakili Majlis Syura Ulama Pas manakala Dr Zuhdi Marzuki mewakili AJK Pas.

Katanya, gerak kerja dalam MPI sentiasa dilaporkan dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja Pas.