Empat premis judi dipotong bekalan elektrik

Kakitangan TNB menjalankan pemotongan bekalan elektrik melibatkan premis yang disyaki menjalankan judi dalam talian di Sitiawan.
Kakitangan TNB menjalankan pemotongan bekalan elektrik melibatkan premis yang disyaki menjalankan judi dalam talian di Sitiawan.
A
A
A

LUMUT - Empat premis sekitar Sitiawan dan Ayer Tawar di sini seolah-olah tidak gentar dikenakan tindakan undang-undang apabila masih berani menjalankan kegiatan judi dalam talian walaupun beberapa kali diserbu.

Op Dadu bermula jam 2 petang itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung bersama kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, premis itu yang dipercayai aktif sejak dua tahun lalu berselindung di sebalik penjualan barangan runcit dan motosikal.

"Premis ini didapati masih berdegil malah tidak serik dengan hukuman dikenakan terhadap mereka. Jadi, langkah pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan dengan kerjasama TNB.

"Tindakan diambil di bawah Seksyeb 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 agar premis terlibat tidak kembali beroperasi," katanya ketika ditemui di sini, pada Khamis.

Menurutnya, sebanyak 577 kertas siasatan dibuka bagi tahun 2020 dan 2021 dengan 429 kertas siasatan telah didakwa di mahkamah manakala 28 premis berjaya diambil tindakan.

"Bagi tempoh Januari 2022 sehingga kini, sebanyak 228 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu, 140 didakwa di mahkamah.

"58 lagi kertas masih dalam siasatan. Jumlah wang yang berjaya dirampas dianggarkan sebanyak RM27,500," katanya.

Kata Nor Omar, pihaknya akan terus mempertingkatkan usaha menjalankan Op Dadu bagi membanteras kegiatan judi sekali gus menurunkan kadar kes judi di daerah Manjung.