Sindiket seleweng minyak diesel di Perlis tumpas

Kenderaan jenis Mitsubishi Pajero disita bagi tujuan siasatan lanjut. - Foto ihsan KPDNHEP Perlis
Kenderaan jenis Mitsubishi Pajero disita bagi tujuan siasatan lanjut. - Foto ihsan KPDNHEP Perlis
A
A
A

KANGAR - Satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Perlis tumpas susulan penahanan seorang lelaki warga tempatan dan seorang pemilik stesen minyak dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di sini, pada Rabu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, Norazah Jaapar berkata, serbuan kira-kira jam 7.30 pagi itu dijalankan hasil risikan sejak beberapa minggu lepas diketuai Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Mohamad Amir Abdullah.

"Hasil serbuan tersebut, KPDNHEP Perlis menahan seorang lelaki warga tempatan berumur lewat 40-an dan pemilik stesen minyak terbabit bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, ketika serbuan dibuat pihaknya mendapati suspek sedang leka mengisi minyak diesel bersubsidi ke dalam kenderaan.

"Hasil pemeriksaan awal dijalankan ke atas kenderaan tersebut mendapati terdapat dua unit tangki telah diubah suai pada bahagian tempat duduk belakang kenderaan tersebut disyaki mengandungi minyak diesel bersubsidi,” katanya.

Katanya, modus operandi kes berkenaan adalah suspek membeli minyak diesel bersubsidi di beberapa stesen minyak di Perlis dan kemudian menjualnya kepada pihak lain.

Norazah berkata, pihaknya telah mengambil tindakan menyita anggaran 406 liter minyak diesel bersubsidi, dua unit tangki tambahan (dalam kenderaan Mitsubishi Pajero) dan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero bagi tujuan siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM52,372.90.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pihaknya sedang mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel bersubsidi tersebut bermula dari stesen minyak berkenaan sehingga pembeli. - Bernama