UMNO Sabah tidak serah 6 kerusi Parlimen kepada Bersatu

Gambar (kiri) Abdul Rahman, Siti Aminah
Gambar (kiri) Abdul Rahman, Siti Aminah
A
A
A

KOTA KINABALU - Tidak ada sebab UMNO Sabah mahu menyerahkan enam kerusi Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berkata, UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi yang dimenanginya pada PRU14 walaupun ada pihak termasuk Bersatu menuntut akan mempertahankan enam kerusi Parlimen yang disandang oleh wakil rakyat parti itu pada PRU15 akan datang.

Beliau turut mengingatkan enam kerusi yang dimaksudkan dimenangi atas tiket UMNO sebelum ini, namun wakil rakyat mereka bertindak menyertai Bersatu walaupun tidak mendapat restu daripada ahli dan rakyat di peringkat umbi.

"Tidak ada sebab kami menyerahkan kerusi yang dimenangi oleh UMNO kepada parti lain pada PRU15," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun yang menegaskan bahawa Bersatu akan mempertahankan enam kerusi miliknya ketika ini.

Siti Aminah berkata, UMNO sedia maklum akan ada parti lain bertanding di kawasan sama dan ia adalah adalah lumrah sebagai negara yang mengamalkan demokrasi.

Bagaimanapun, beliau berkata, kekuatan UMNO dan akar umbinya yang bangkit tidak harus diperkecilkan.

"UMNO parti terbesar di negara ini, maka kemenangannya sangat signifikan dalam memastikan kestabilan yang kukuh.

"Dominan bukan pula bermaksud angkuh tetapi kewajipan mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha UMNO bahagian Sipitang, Abdul Rahman Mohd Noh berkata, UMNO bahagian Sipitang juga akan mempertahankan kerusi mereka yang dimenangi atas tiket UMNO sebelum ini.

"Tiada alasan UMNO menyerahkan kerusi Sipitang kepada parti lain kerana umum mengetahui kerusi di kawasan ini sebelum ini dimiliki oleh UMNO dan demi maruah parti ia perlu dipertahankan pada PRU15 akan datang," katanya.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Beaufort dan Sipitang serta empat lagi kerusi Kudat, Ranau, Beluran dan Libaran dimenangi oleh UMNO bagaimanapun keenam-enam Ahli Parlimen berkenaan bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu.