Tiga lelaki pecah masuk pusat servis kereta diberkas

Pelbagai barangan dirampas daripada suspek yang ditahan polis dalam dua serbuan di Shah Alam pada Rabu.
Pelbagai barangan dirampas daripada suspek yang ditahan polis dalam dua serbuan di Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

AMPANG - Tiga lelaki ditahan secara berasingan disyaki terlibat dengan kes pecah masuk sebuah pusat servis kereta di Jalan AWF Waterfront di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua suspek berusia 32 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di Shah Alam pada Rabu.

"Barangan yang dilaporkan hilang dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohamad Farouk berkata, kejadian pada jam 7.05 pagi itu disedari pekerja pusat servis kereta itu yang mendapati keadaan di dalam premis berselerak.

"Setelah membuat pemeriksaan, tingkap cermin di tepi premis berkenaan didapati terbuka dan diumpil. Pelbagai peralatan seperti komputer, alat kawalan jauh kereta, televisyen, dekoder kamera litar tertutup turut didapati hilang dan kerugian dianggarkan bernilai RM30,000," katanya.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah.

"Susulan daripada tangkapan tersebut, kita berjaya menyelesaikan empat kes pecah kedai di daerah Ampang Jaya, Subang, Sungai Buloh dan Alor Gajah, Melaka.

"Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan," ujarnya.