Tewas tipis di laman sendiri, Nafuzi tetap puas hati

Pemain Terengganu FC, Muhammad Alif Zakaria (kanan) mengasak pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadum Sultan Mizan Zainal Abidin, malam Khamis. - Foto Bernama
Pemain Terengganu FC, Muhammad Alif Zakaria (kanan) mengasak pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadum Sultan Mizan Zainal Abidin, malam Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya meskipun tewas 1-2 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di laman sendiri malam tadi.

Menurut Nafuzi, pemainnya telah menyajikan persembahan terbaik dengan berjuang habis-habisan biarpun tanpa kelibat beberapa pemain utama yang direhatkan akibat kecederaan serta masalah kesihatan.

"Walaupun kalah tipis 1-2, saya bangga dengan barisan pemain malam ini yang mengerah tenaga dan berjuang bermati-matian sehingga ke akhir perlawanan.

"Memang kami turun dengan misi tiga mata, tetapi dengan hanya tiga tonggak import di atas padang, saya tetap puas hati dengan keputusan perlawanan," katanya selepas perlawanan menentang JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.

Kekalahan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah TFC dalam 10 perlawanan di laman sendiri manakala JDT pula terus selesa di puncak liga selepas mengumpul 38 mata daripada 14 perlawanan.

Menurut Nafuzi, perlawanan malam tadi juga memberi sedikit gambaran kepada beliau tentang cabaran yang bakal ditempuh skuad Penyu apabila bertemu JDT pada pentas akhir Piala FA.

Katanya, antara kelemahan ketara yang perlu ditangani ialah masalah ketumpulan penyudah yang menghantui pasukannya sejak sekian lama.

"Kelemahan ini juga kami boleh nampak melalui jumlah kutipan gol. Kami antara pasukan terendah dari segi jaringan dalam carta Liga Super musim ini," katanya.

Sementara itu pengendali JDT, Hector Pablo Bidoglio memuji corak permainan TFC yang mampu memberi saingan sengit kepada pasukannya.

"Kami tahu ia adalah perlawanan yang sukar, Terengganu adalah pasukan yang sukar. Kedua-dua pasukan melakukan tugasan dengan baik, tetapi akhirnya kami mendapat tiga mata menentang Terengganu dan ia adalah perkara paling penting," katanya. - Bernama