Kygios mara ke pusingan 16

Kygios - Foto AP
Kygios - Foto AP
A
A
A

BINTANG tenis Australia, Nick Kyrgios mara ke pusingan kalah mati kejohanan Terbuka Bank Nasional di Montreal Kanada apabila menewaskan pemain nombor satu dunia, Danill Medvedev 6-7 (2), 6-4, 6-2 pada aksi pusingan kedua, pada Khamis.

Menurut Kyrgios, kemenangan itu sangat bermakna buat dirinya yang baru sahaja muncul juara Terbuka Citi yang juga merupakan siri jelajah Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP) di Washington, minggu lalu.

“Hari ini (Khamis), objektif saya adalah untuk bermain menggunakan banyak teknik-teknik servis dan volley dan membalas pukulan lawan dengan agresif.

“Nampaknya kesemua teknik berkenaan berhasil walaupun saya tewas pada set pertama.

“Bagaimanapun, teknik yang saya gunakan itu mula berkesan pada set kedua dan seterusnya pada set ketiga untuk saya memenangi pertemuan kali ini,” katanya.

Untuk rekod, kemenangan Kyrgios itu melebarkan rekod kemenangannya kepada tiga kemenangan dan tewas sekali kepada pemain Russia berkenaan.

Kyrgios bakal berdepan rakan senegara, Alex de Minaur pada pusingan 16 yang bakal berlangsung pada Jumaat.

Mengulas mengenai aksi berdepan Medvedev, Kyrgios berkata, ia merupakan pertemuan keempat mereka setakat ini.

Katanya, kedua-dua mereka mempamerkan permainan yang menarik kerana masing-masing sudah memahami corak permainan antara satu sama lain.

“Ini kali keempat kami bertemu..tetapi saya bukannya pemain yang menilai pihak lawan berdasarkan kedudukan ranking, kerana apa yang penting adalah memahami corak permainan yang ditampilkan lawan,” katanya.