MBJB ambil langkah segera atasi banjir kilat

Laporan ruangan Apa Khabar Rakyat siaran Rabu memaparkan isu banjir yang melanda Johor Bahru.
Laporan ruangan Apa Khabar Rakyat siaran Rabu memaparkan isu banjir yang melanda Johor Bahru.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengambil tindakan segera selain merangka pelan jangka masa pendek dan panjang dalam menyelesaikan masalah banjir kilat di bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, empat tindakan segera dilakukan iaitu turun ke kawasan terlibat di bandar raya ini bagi memastikan semua pam utama berfungsi dengan baik serta memantau banjir kilat.

"Kedua, Skuad Kilat MBJB bersama Team ERT Safwa Global Sdn Berhad telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan segera di lokasi terlibat dengan membersihkan halangan di dalam parit, longkang serta saliran utama yang dipenuhi sampah-sampah domestik, sisa pokok, landskap dan lain-lain sampah yang dihanyutkan air banjir.

"Ketiga, MBJB telah mengeluarkan Notis Amaran Kerja Tanah Akta 33 di atas kegagalan kawalan kerja tanah pembangunan kepada tiga pemaju dalam kawasan MBJB kerana telah mengakibatkan banjir lumpur berlaku pada 2 Ogos lalu.

Mohd Noorazam Osman
Mohd Noorazam Osman



"Perkara keempat MBJB akan memantau kerja-kerja pembersihan segera terhadap sampah sarap di parit-parit terbuka yang dijalankan oleh SWM Environment," katanya dalam satu kenyataan.

Sinar Harian menerusi ruangan Apa Khabar Rakyat pada Rabu, menyiarkan keluhan mangsa banjir kilat di sekitar bandar raya ini yang berlaku pada 2 Ogos lalu yang menenggelamkan kira-kira 500 kenderaan.

Mohd Noorazam berkata, bagi tindakan jangka masa panjang, pihaknya akan melaksanakan kajian bagi tahap kapasiti pam sedia ada termasuk cadangan menyediakan pam baharu untuk menampung pembangunan-pembangunan baharu dalam kawasan MBJB bagi memastikan aliran air dapat dilepaskan dengan lancar ke Selat Tebrau, terutamanya ketika air pasang tinggi.

Antara kawasan yang terjejas akibat banjir kilat pada 2 Ogos lalu ialah di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Kampung Mohd Amin, Jalan Sungai Chat, Jalan Kolam Ayer, Jalan Ayer Molek, Jalan Stulang Darat, Jalan Tebrau, Jalan Tun Abdul Razak dan Jalan Wong Ah Fook.