Kegiatan seleweng diesel subsidi terbongkar

Enam tong kesemuanya berisi 3,000 liter diesel bersubsidi dirampas. - Foto PDRM
Enam tong kesemuanya berisi 3,000 liter diesel bersubsidi dirampas. - Foto PDRM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Gerak-geri seorang lelaki yang mencurigakan semasa mengisi minyak ke dalam lori dipandunya di sebuah stesen minyak di Ulu Tiram di sini pada Selasa membongkar kegiatannya melakukan penyelewengan diesel bersubsidi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kegiatan itu disedari anggota polis dari cawangan kereta peronda (MPV) Bahagian Pecegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam semasa melakukan rondaan pada jam 8.45 malam.

"Anggota terbabit telah melihat seorang lelaki tempatan sedang mengisi minyak ke dalam lori dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil siasatan mendapati terdapat enam tong minyak diesel yang dianggarkan 500 liter setiap tong.

"Polis menahan lelaki berusia 31 tahun itu yang merupakan pemandu lori tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas enam tong tersebut yang kesemuanya berisi 3,000 liter diesel, lori berkenaan dan dua resit belian minyak berkenaan berjumlah RM1,000.

"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM66,450.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah dan tiga rekod berkaitan dadah.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.